Liputan 5G di Sabah capai hampir 50 peratus - Fahmi
RANAU - Liputan 5G di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai hampir 50 peratus setakat 30 September lepas, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, sejumlah 401 daripada 622 tapak 5G yang dirancang di Sabah juga telah berjaya disiapkan.
Bagi rangkaian 4G pula, Fahmi berkata, liputan jalur lebar mudah alih 4G sudah mencapai lebih 90 peratus di kawasan berpenduduk di negeri itu dengan purata kelajuan mudah alih mencecah 43.76Mbps sehingga suku kedua tahun ini.
"Sebanyak 4,229 daripada 4,281 stesen pemancar yang dirancang untuk dinaik taraf kepada rangkaian 4G telah disiapkan, manakala 52 lagi stesen masih dalam pelaksanaan," katanya ketika berucap pada program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Lohan di sini, hari ini.
HBK adalah inisiatif berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi mempromosi PEDi sebagai usaha membudayakan elemen pendigitalan dan pendidikan khususnya dalam kalangan rakyat selain platform menyebarkan maklumat mengenai bantuan dan perkhidmatan disediakan oleh rakan strategik.
Mengulas mengenai pelaksanaan projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah, Fahmi berkata, fasa satu pembangunan projek itu menunjukkan pencapaian memberangsangkan.
Menurut Fahmi, sebanyak 186 daripada 631 menara komunikasi baharu yang dirancang untuk didirikan menerusi projek itu telah disiapkan, manakala bagi 445 lagi menara komunikasi baharu masih dalam pelaksanaan.
Beliau berkata, JENDELA yang merangkumi dua fasa pembangunan dilaksanakan bertujuan meningkatkan kesalinghubungan dan perkhidmatan Internet berkualiti untuk manfaat rakyat termasuk bagi tujuan pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
Sementara itu, Fahmi berkata, sejumlah 118 PEDi telah dibangunkan dan beroperasi di Sabah setakat ini, dengan 14 lagi PEDi baharu akan didirikan di negeri itu tidak lama lagi sebagai usaha memperkasa aktiviti dan membangun kemahiran masyarakat setempat khususnya di luar bandar.
Fahmi berkata, kemudahan Internet disediakan di PEDi seluruh negara mampu menggalakkan masyarakat menceburi bidang perniagaan secara dalam talian menerusi platform e-dagang.
Inisiatif itu sejajar dengan usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa masyarakat menerusi transformasi digital, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam mewujudkan sebuah masyarakat madani yang maju, terampil dan terangkum.
"Justeru, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amatlah penting dalam memastikan aspirasi untuk merapatkan jurang digital dapat dilaksanakan dengan baik," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!