Kaji semula sistem agihan IPG, manfaat kepada golongan sasar

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Shaharizukirnain)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Shaharizukirnain)
A
A
A

SETIU - Kerajaan diminta untuk mengkaji semula sistem agihan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang dilaksanakan hampir lapan tahun secara komprehensif bagi memastikan hanya golongan sasar dan benar-benar layak yang mendapat manfaat tersebut.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, ini kerana syarat mendapat manfaat IPG berkenaan adalah pemilik kebun perlu mempunyai geran dan memiliki saiz kebun kurang daripada 40.5 hektar.

"Melalui syarat ini telah menyebabkan penoreh getah yang tidak memiliki kebun dan sepatutnya mendapat bantuan tidak layak untuk memohon IPG sekali gus menyebabkan golongan tersebut terus berada di bawah paras kemiskinan.

"Isu ini telah lama membelenggu hampir puluhan ribu penoreh getah yang tidak memiliki kebun. Meskipun mereka perlu menandatangani surat perjanjian pembahagian tuntutan IPG dengan pemilik kebun bagi mendapatkan manfaat IPG, namun peratus pembahagian pula ditentukan oleh pemilik kebun.

"Perkara ini sudah tentu tidak menjamin sejauh mana penoreh getah mendapat pembahagian secara adil dengan pemilik kebun," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) mendakwa berlaku kesalahan dalam bayaran IPG apabila ada pemilik tanah kebun yang memiliki kerja tetap turut mendapat bantuan itu.

Pengerusinya, Mohd Taufik Yaacob berkata, keadaan itu menyebabkan penoreh sebenar yang sepatutnya menerima bantuan tidak layak memohon IPG menyebabkan keluarga mereka terus hidup di bawah paras kemiskinan.

Mengulas lanjut, Shaharizukirnain berkata, bahkan pemilik kebun yang merupakan golongan berkemampuan dan mempunyai pekerjaan tetap sebenarnya yang mendapat manfaat IPG berbanding penoreh getah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun kerajaan telah menaikkan paras harga pengaktifan IPG kepada RM3 sekilogram tetapi manfaat tersebut boleh dikatakan tidak menyeluruh serta tiada jaminan semua penoreh getah layak dan mendapat manfaat IPG tersebut.

"Jadi, saya melihat sistem agihan IPG ini tidak menyasarkan kepada golongan penoreh getah yang mengambil upah menoreh.

"Oleh itu, kerajaan seharusnya menstruktur semula sistem ini selain menentukan siapa sebenarnya golongan penoreh yang melakukan kerja menoreh getah dan golongan pemilik tanah yang menggunakan kaedah pawah," ulasnya.

Dalam pada itu, Shaharizukirnain menyatakan kerajaan perlu bertindak segera dalam menjaga kebajikan puluhan ribu penoreh getah yang tidak memiliki kebun.

Menurutnya, ini kerana golongan tersebut turut tertekan dengan kos sara hidup semakin tinggi, pendapatan kurang ketika musim hujan dan harga makanan asas yang semakin meningkat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!