Wakil rakyat tak capai prestasi akan diganti - Anthony Loke

Anthony ketika berucap dalam majlis Konvensyen DAP Perak kali ke-22 di Hotel Kinta Riverfront di Ipoh pada Ahad.
Anthony ketika berucap dalam majlis Konvensyen DAP Perak kali ke-22 di Hotel Kinta Riverfront di Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memberi peringatan mana-mana wakil rakyat parti itu yang tidak mencapai prestasi seperti diharapkan akan diganti dengan muka baharu.

Menurutnya, penilaian dan prestasi menjadi petunjuk penting bagi memastikan wakil rakyat memberi perkhidmatan dengan penuh tanggungjawab dan bermanfaat kepada kawasan masing-masing.

"Anda telah diberikan amanah, diberikan peluang menjadi calon bagi pihak DAP, jadi mesti buat yang sebaik mungkin. Jangan sesekali memalukan parti ini dengan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai calon dan wakil rakyat

"Kalau ada yang tidak menepati kehendak parti dan prestasi yang diharapkan, sudah tentu ramai lagi yang boleh menggantikan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Konvensyen DAP Perak kali ke-22 di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman.

Anthony berkata, DAP mempunyai ramai barisan pelapis yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai pemimpin dan wakil rakyat di pelbagai peringkat sama ada kerajaan pusat, negeri mahupun tempatan.

Tambahnya, di Perak sahaja, selain wakil rakyat, pemimpin DAP mempunyai wakil di 99 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri dan lebih 100 orang mengisi jawatan ketua kampung.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kali pilihan raya ada wakil rakyat yang hendak bersara ataupun mengundurkan diri, jadi akan ada peluang kepada pelapis-pelapis ini (menjadi calon).

"Jadi seluruh kepimpinan dan keahlian DAP di semua peringkat kerajaan mesti terus berusaha bertungkus lumus dan paling penting kita mesti mengingatkan diri untuk sentiasa berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!