Pochettino akui tidak bimbang
PENGENDALI Chelsea, Mauricio Pochettino mengakui tidak bimbang dengan kekalahan terbaharu 0-2 kepada jiran London, Brentford di Stadium Stamford Bridge pada Sabtu.
Sebaliknya, pengendali kelahiran Argentina itu mengakui selesa dengan cara The Blues bermain ketika menentang pasukan berprofil tinggi musim ini.
“Kami menentang Liverpool dan kami menentang Arsenal dan pasukan itu bermain dengan sangat baik. Itulah sebabnya kami tidak bimbang. Kami perlu meneruskannya,” kata Pochettino merujuk kepada perlawanan di tempat sendiri.
Kekalahan kepada Brentford itu secara tidak langsung mengimbau semula kekalahan 0-1 di London kepada Nottingham Forest pada 2 September lalu diikuti Aston Villa (24 September).
“Jika anda tidak menjaringkan gol, anda perlu menyalahkan diri sendiri dan kami menyalahkan diri sendiri kerana kami tidak agresif atau klinikal di hadapan gol,” katanya.
Dua jaringan Ethan Pinnock (m-58) dan Bryan Mbeumo (m-96) membolehkan The Bees meraih kemenangan 2-0 ke atas Chelsea sekali gus menyaksikan The Blues hanya memenangi satu daripada 13 perlawanan liga terakhir kelab tersebut di Stamford Bridge.
Kelab London itu dalam proses pembinaan semula selepas tampil dengan aksi longlai musim lalu yang menyaksikan pemecatan pengendali Thomas Tuchel dan Graham Potter.
Chelsea selepas ini akan menyingkap saingan Pusingan 16 Piala Liga berdepan kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers di London pada 2 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!