Kumpulan EPIC tanam 300 pokok di Kemaman

Ahmad Amzad (kiri) menanam anak pokok pada program ‘KPK Grow Green 2023-Tree Planting at East Wharf’ di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman pada Ahad.
Ahmad Amzad (kiri) menanam anak pokok pada program ‘KPK Grow Green 2023-Tree Planting at East Wharf’ di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman pada Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Kumpulan EPIC) menerusi anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) menganjurkan program ‘KPK Grow Green 2023-Tree Planting at East Wharf’ di Dermaga Timur, Pelabuhan kemaman di sini pada Ahad.

Pengurus Besar KPKSB, Ashari Mohammad berkata, sebanyak 300 anak pokok spesies 'kelat paya' atau ‘eugenia papillosa duthie’ telah ditanam di lokasi yang ditetapkan melibatkan bantuan 100 sukarelawan syarikat.

Menurutnya, program tanggungjawab sosial korporat itu turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan negeri selain merupakan sebahagian daripada inisiatif Kumpulan EPIC bagi menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Terengganu.

"Spesies pokok kelat paya telah dipilih kerana ciri-cirinya bersesuaian dengan kawasan dermaga selain daya tahannya yang tinggi dan juga mudah untuk dijaga.

"Matlamat utama program penanaman pokok tersebut diadakan adalah untuk meningkatkan kawasan liputan hijau di sekitar Dermaga Timur kelolaan KPKSB.

Kumpulan EPIC menerusi anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) menganjurkan program ‘KPK Grow Green 2023-Tree Planting at East Wharf’ pada Ahad.
Kumpulan EPIC menerusi anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) menganjurkan program ‘KPK Grow Green 2023-Tree Planting at East Wharf’ pada Ahad.

“Ia mencerminkan komitmen yang digalas bersama bagi merealisasikan aspirasi Kumpulan EPIC untuk mentransformasi pengoperasian dan pembangunan Pelabuhan Kemaman ke arah menjadikannya sebuah pelabuhan hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program KPK Grow Green 2023-Tree Planting at East Wharf’ di sini yang turut dihadiri, Pengerusi KPKSB, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Amzad menyatakan pihaknya menyambut baik komitmen yang ditunjukkan oleh Kumpulan EPIC dalam menjayakan kempen tersebut serta menyokong penuh usaha syarikat dalam mewujudkan lebih banyak kawasan litupan hijau.

Menurutnya, ia sekaligus memupuk kesedaran tentang tanggungjawab memelihara alam sekitar yang perlu digalas bersama oleh semua pihak.

"Dalam menjalankan perniagaan secara lestari dan mampan, kita bukanlah sekadar mencari keuntungan semata-mata, tetapi juga menyumbang tenaga serta usaha demi menjaga khazanah alam yang tidak ternilai harganya,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!