[VIDEO] Gesa hukuman lebih berat kepada pihak cemarkan sungai
JOHOR BAHRU - Penduduk sekitar kawasan Sungai Pandan di sini, tidak dapat menggambarkan kekecewaan mereka terhadap sikap pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai berkenaan sehingga dipenuhi dengan longgokan sampah-sarap.
Tinjauan Sinar Harian pada Ahad mendapati keadaan sungai tersebut turut menimbulkan bau busuk.
Sehubungan itu, orang ramai berharap hukuman berat perlu dikenakan terhadap pihak mahupun individu yang didapati mencemarkan sungai berkenaan.
Bagi Mohd Yusoff Mingan, 60, keadaan sungai di sekitar negeri ini memang telah mencapai tahap pencemaran teruk dan hukuman lebih keras perlu dikuatkuasakan bagi ‘menggerunkan’ pihak terbabit.
“Sungai-sungai di Johor ini memang dah tercemar teruk, jadi harap sangat pihak berkuasa dapat ambil tindakan lebih tegas dan pantau keadaan ini.
“Tak perlu setiap hari, dalam seminggu pun dah cukup dah sebab kita nak tuduh pun kita sendiri kurang pasti tapi memang kebanyakannya (sisa buangan) ni dari kilang-kilang.
“Lagi satu, kalau boleh biarlah tindakan lebih tegas dan berat macam penjara ke, sebat ke sebab kalau denda ‘mereka’ ni boleh bayar... mereka ni kaya-kaya semua,” katanya kepada Sinar Harian.
Sabtu lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut menyuarakan rasa kecewa apabila 14 Sungai di negeri tersebut yang dikategorikan dalam kualiti air sungai paling tercemar seperti Sungai Tampoi, Sungai Pandan, Sungai Buluh dan Sungai Kempas.
Sementara itu, Jamali Lujeng, 60, turut menyifatkan ia berpunca daripada sikap orang ramai yang sering membuang sampah ke dalam sungai.
Katanya, sikap berkenaan perlu dihentikan terutamanya bagi mereka yang tinggal berhampiran sungai dalam usaha menjamin kebersihan sungai berhampiran mereka.
“Penduduk yang tinggal berhampiran sungai sering membuang sampah ke adalam sungai.
'Tak ada tanggungjawab... goreng maggie (mi segera) pun kulit telur main campak je ke belakang (sungai).
“Perkara-perkara macam inilah yang buatkan sungai boleh tercemar dan bila dan lama-lama jadi makin banyaklah jadi kita semua patut ada rasa tanggungjawab dan bekerjasamalah,” katanya.
Husni Abu Bakar, 71, pula berkata, dia bersetuju jika pihak yang mencemarkan sungai dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.
Katanya, ia juga dapat memastikan agar pihak terlibat tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.
“Pasal (kebersihan) sungai ni tak tahu nak cakap lagilah... dah bertahun. Sikit lagi ni penuhlah dengan sampah, macam tilamlah dan lain-lain.
“Kita memancing sekarang ni air bersih tetapi tiba-tiba sahaja air jadi kotor.
"Daripada bersih, air jadi kotor macam mana?
"Takkan dari laut datangnya air kotor ni?” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!