Lantik YSS Duta Perpaduan pupuk semangat, kesejahteraan negara
SHAH ALAM - Pelantikan alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sebagai Duta Perpaduan merupakan langkah tepat bagi memupuk semangat penyatuan masyarakat dan membantu menjaga kesejahteraan negara.
Bekas Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, bidang sukarelawan berkenaan sebagai platform bagi mereka mendekatkan diri dengan masyarakat melalui kepelbagaian aktiviti melibatkan komuniti dan pelajar.
“Saya menyambut baik usaha Kementerian Perpaduan Negara menjadikan YSS sebagai Duta Perpaduan.
“Ini kerana mereka telah memainkan peranan penting dalam mendidik, menggalakkan dan membimbing pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia dalam bidang kesukarelawanan melalui pelaksanaan Misi Sukarelawan Siswa setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang ketika di program International Volunteer Co-operation Organizations (IVCO) 2023 pada Isnin lalu, mengumumkan YSS akan diiktiraf sebagai Duta Perpaduan mulai tahun depan.
Katanya, ia kerana peranan penting mereka dalam memupuk perpaduan melalui pelbagai aktiviti seperti program pasca bencana, budaya masyarakat dan pusat tuisyen bersama masyarakat.
Tambah Lam Thye, antara pelajar yang dipilih menyertai misi sukarelawan terdiri daripada pelbagai kaum termasuk kumpulan minoriti masyarakat Orang Asli.
“Mereka akan tinggal bersama komuniti selama dua minggu atau sebulan untuk melaksanakan aktiviti kesukarelawanan.
“Ini turut menjadikan sukarelawan sebagai sumber inspirasi dan teladan kepada golongan belia termasuk penduduk kampung terutamanya dalam bidang pendidikan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!