Anugerah Khas Belia: Pemangkin untuk terus berbakti
KUANTAN - Pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang menyifatkan kemenangan di tempat pertama sebagai pemangkin semangat untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat setempat.
Zurratul Aina Mohd Zahidin, 25, yang menerima Anugerah Khas Belia Negeri Pahang 2023 Kategori Individu Wanita, tidak menyangka terpilih menerima pengiktirafan tersebut.
Katanya, pengiktirafan terbabit membuktikan usaha yang dilakukan dalam membantu golongan belia dan masyarakat setempat dalam penjagaan kesihatan mental membuahkan hasil.
"Alhamdulilah, penganugerahan ini akan menjadi satu pemangkin semangat kepada para belia untuk terus memberi sumbangan terutamanya kepada kerajaan Pahang.
"Ini (juga) satu batu loncatan untuk saya buat yang lebih baik.
"Sebelum ini saya tidak pernah terfikir dengan melibatkan diri dalam pembangunan belia ini akan ada anugerah seperti ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang dan Anugerah Khas Belia 2023 di sebuah hotel di Tanjung Lumpur pada Ahad.
Majlis pengurniaan itu disempurnakan oleh Tengku Panglima Raja, Brigadier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim yang mewakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Bagi penerima Anugerah Khas Belia Negeri Pahang 2023 Kategori Individu Lelaki, Muhammad Zul Syafiq Abdul Wahab, 32, berkata, pengiktirafan itu memberi semangat kepada dirinya untuk terus berbakti kepada masyarakat khususnya dalam bidang pendidikan.
Katanya, sumbangannya kepada masyarakat khususnya pelajar sekolah bermula 2014 dengan mengadakan kelas tuisyen secara percuma di Felda Jengka.
Menurutnya, usaha yang dilakukan itu menjadi sebab kepada pengiktirafan yang diperolehi hari ini.
"Kita fikir ada generasi seperti B40, M40, mereka tiada akses untuk (kelas) tuisyen disebabkan kawasan jauh dari bandar.
"Jadi, ini peluang saya untuk bantu masyarakat di kampung dengan memberi kelas percuma, selain itu pendidikan fardu kifayah," katanya.
Sementara itu, Fadzli memaklumkan, kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi pelaksanaan program-program pembangunan belia pada tahun ini.
Katanya, peruntukan tersebut disalurkan melalui Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Majlis Belia Negeri Pahang serta NGO dan meruoakan peruntukan terbesar dibandingkan negeri-negeri lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!