MOF cadang kurikulum keusahawanan, kewangan diajar di sekolah

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KULAI - Kementerian Kewangan (MOF) mencadangkan agar kurikulum mengenai keusahawanan dan kewangan diajar di peringkat sekolah.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya mengesyorkan kurikulum berkenaan diajar mulai Tingkatan Satu hingga Enam supaya rakyat terutama orang muda boleh memahami tentang keusahawanan dan kewangan dengan lebih berstruktur serta sistematik.

"Jika mereka belajar selama tiga jam sehari selama seminggu, dalam tempoh lima tahun saya kira ramai yang mendapat faedah dan menjadi celik usahawan dan celik kewangan dalam hidup mereka pada masa akan datang.

"Lagipun, kita mengetahui antara 400,000 hingga 500,000 keluaran SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) setiap tahun dan daripada angka itu hanya 40 peratus ada sijil STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia), diploma, ijazah, sarjana kedoktoran.

"Ini bererti 60 peratus hanya ada SPM setiap tahun, jadi bayangkan kalau yang 60 peratus itu mempunyai ilmu kewangan dan keusahawanan, mereka juga tidak akan tertekan dalam hidup kerana boleh mencari rezeki sebagai (pengusaha) perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dengan lebih teratur, ada ilmu dan bermaklumat," katanya.

Ahmad berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Sempena Bulan Literasi Kewangan di AEON Mall Kulaijaya, pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya turut mengesyorkan agar kajian awal dibuat terhadap pengenalan subjek baharu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kajian boleh dibuat oleh jawatankuasa Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang turut dianggotai BNM, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebelum kesemua input berkaitan dapat dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

"Bagi mewujudkan kurikulum itu masih belum ada perbincangan lanjut, namun saya sarankan Jawatankuasa FEN mengambil inisiatif awal mengenai perkara ini.

"Sebelum ini pun jawapan di Dewan Rakyat sering menyebut modul mengenai keusahawanan dan kewangan hanya diajar merentas pelbagai subjek, tidak secara khusus dan menyeluruh menyebabkan aspek keusahawanan dan kewangan itu tidak diambil berat golongan muda," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!