Parang petunjuk baharu SAR lelaki hilang
SUNGAI SIPUT - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemukan petunjuk baharu dalam usaha mengesan lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Saseh, Pos Perwor di sini sejak Khamis lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, anggotanya menemui sebilah parang berhulu plastik yang disahkan milik mangsa, Ali Pandak, 68.
"Operasi hari ketiga ini melibatkan 36 anggota dan orang awam di kawasan Bukit Cheneh berhampiran.
"Ketika operasi, pasukan menemui parang di kawasan hutan berkenaan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah mangsa.
"Senjata itu disahkan oleh anak mangsa," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurut beliau, khidmat Tipo dan Eros dari Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan bagi mengesan mangsa.
"Sepanjang operasi tersebut, pasukan berdepan cabaran bentuk muka bumi yang berbukit dan hutan tebal.
"Operasi dijalankan penuh berhati-hati berikutan hutan berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan laluan gajah liar.
"Meskipun tidak terserempak kami menjumpai tapak kaki mamalia itu," katanya.
Mohd Jamalludin berkata, operasi berkenaan bagaimanapun ditangguhkan sekitar jam 5 petang berikutan keadaan cuaca gelap dan berisiko.
"Susulan penemuan positif itu, SAR akan diteruskan pada Isnin bermula di lokasi parang berkenaan dijumpai," katanya.
Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas dari masyarakat Orang Asli disedari hilang dari rumahnya dan pencarian awal dilakukan penduduk kerana mangsa tidak pernah keluar sendirian atas faktor kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!