Johor Jewels pamer kuasa juara
PENYANDANG juara Johor Jewels membuktikan statusnya sebagai pasukan yang harus digeruni apabila gah mengungguli saingan Liga Super Bola Jaring (NSL) musim ini.
Kejayaan itu hadir selepas Johor Jewels menewaskan Putrajaya Dynamites 48-40 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.
Kemenangan dilakar skuad kendalian Tracey Robinson ke atas pasukan asuhan Pei San itu juga menyaksikan kuasa bola jaring dari selatan tanah air itu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Lain-lain keputusan menyaksikan KL Wildcats kendalian Norizan Rajab pula menewaskan anak buah Nurul Ain Ramlan - Negeri Sembilan Venom, 74-25.
Skuad pimpinan Noorahiza Azami - Perak Phoenix pula membelasah Pahang Tulips, kendalian Hapizah Jaafar, 63-40, manakala Terengganu Marvels asuhan Farhana Mustafa menewaskan Selangor Angels, kendalian Rizal Khalid, 48-36.
Keputusan perlawanan juga menyaksikan Johor Jewels (21 mata), KL Wildcats (18 mata), Putrajaya Dynamites (15 mata) dan Perak Phoenix (12 mata) mengesahkan slot separuh akhir dengan status empat pasukan terbaik NSL 2023.
Perlawanan separuh akhir bakal menyaksikan Johor Jewels berdepan Perak Phoenix, manakala Putrajaya Dynamites berdepan KL Wildcats.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!