Hujan tidak halang rakyat pamer sokongan, solidariti kepada Palestin

Orang ramai mengambil bahagian dalam Himpunan Kasih Gaza 2.0 Solidariti Palestin di pekarangan Masjid Bandar Perda. - Foto Bernama
Orang ramai mengambil bahagian dalam Himpunan Kasih Gaza 2.0 Solidariti Palestin di pekarangan Masjid Bandar Perda. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cuaca mendung serta hujan di Selangor dan Pulau Pinang sejak petang tadi tidak menghalang orang ramai untuk berhimpun bagi menzahirkan sokongan dan solidariti kepada rakyat Palestin.

Di SELANGOR, sekitar 1,000 orang dianggarkan hadir pada himpunan ‘Solidariti 4 Palestin’ anjuran Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari serta Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Himpunan berkenaan yang diwarnai kibaran bendera Palestin serta digemakan dengan laungan takbir dan ‘Hancur Zionis dan Yahudi’, dimulakan dengan solat Maghrib dan diikuti solat Isyak serta solat hajat berjemaah dan alunan Asmaul Husna.

Selain itu, himpunan tersebut disemarakkan dengan nyanyian lagu oleh kumpulan nasyid terkemuka antaranya Brothers, Saff-One dan Inteam serta bacaan puisi berkisarkan keadaan semasa, sejarah perjuangan serta penderitaan rakyat Palestin.

Orang ramai berkumpul sambil membawa bendera Palestin dan sepanduk sebagai tanda menyatakan solidariti terhadap rakyat negara itu pada Himpunan Solidarity 4 Palestine di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - Foto Bernama
Orang ramai berkumpul sambil membawa bendera Palestin dan sepanduk sebagai tanda menyatakan solidariti terhadap rakyat negara itu pada Himpunan Solidarity 4 Palestine di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - Foto Bernama

Di PULAU PINANG, lebih 2,000 umat Islam menyertai Himpunan Kasih Gaza seawal jam 4 petang di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bukit Mertajam, dengan berpakaian serba hitam sambil membawa bendera dan sepanduk ‘Free Palestine’.

Himpunan anjuran Gabungan SPT (GSPT) bersama Masjid Daerah SPT itu turut membabitkan penyertaan daripada 150 badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin politik, dengan laungan ‘Free Free Palestine’ dan Allahuakbar bergema di setiap sudut masjid.

Turut diadakan bacaan doa Qunut Nazilah selain pertunjukan silat oleh Anak Gayong SPT sebagai simbolik kepada kekejaman yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang turut menyertai himpunan itu menyifatkan kekejaman yang dilakukan rejim Zionis terhadap umat Islam di Palestin sebagai satu tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Isu (Palestin) bukan saja isu umat Islam tetapi isu kemanusiaan yang mendapat sokongan daripada seluruh dunia yang membantah kezaliman oleh Israel.

"Kita di Pulau Pinang juga tidak terkecuali menunjukkan sokongan bersama gabungan lebih 150 NGO bagi menyampaikan mesej kepada Israel supaya hentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin," katanya kepada Bernama.

Orang ramai sepanduk sebagai tanda menyatakan solidariti terhadap rakyat negara itu pada Himpunan Solidarity 4 Palestine di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - Foto Bernama
Orang ramai sepanduk sebagai tanda menyatakan solidariti terhadap rakyat negara itu pada Himpunan Solidarity 4 Palestine di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - Foto Bernama

Mohamad berkata, Tabung Solidariti Palestin yang dilancarkan pada 12 Oktober lepas sehingga kini berjaya mengumpul hampir RM1 juta hasil sumbangan kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, individu serta badan korporat, dan jumlah keseluruhan kutipan akan diumumkan dalam masa terdekat serta akan diserahkan terus kepada Palestin melalui Kerajaan Malaysia.

Beliau pada masa sama menyeru seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Pulau Pinang supaya terus mengadakan solat hajat dan mendoakan kesejahteraan Palestin. - Bernama