Sampai bila mahu sebar aib di media sosial

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini, tular video seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima menampar berkali-kali rakan kelasnya kerana menyebarkan gambarnya yang mengaibkan di media sosial TikTok.

Dalam video berdurasi 56 saat itu, pelajar terbabit mendakwa dirinya tidak rapat dengan mangsa dan tidak pernah menggunakan telefon bimbit milik rakan sekelasnya itu.

Walaupun begitu, difahamkan persengketaan dua pelajar ini selesai selepas mereka memilih untuk berdamai dan bermaafan serta menarik balik laporan polis yang dibuat.

Itu cerita budak sekolah, namun kisah membuka aib sama ada melibatkan pasangan suami isteri, adik-beradik, mak dengan anak dan jiran tetangga terutama di media sosial seakan semakin menjadi kebiasaan masyarakat sejak kebelakangan ini.

Perkataan aib adalah merujuk kepada rasa malu oleh seseorang atau orang yang rapat dengannya kerana ada sesuatu keadaan yang tidak elok padanya didedahkan atau diketahui umum.

Rasa malu ini boleh membawa kepada kesan yang sangat negatif kepada seseorang yang diaibkan itu sehingga memungkinkan ia mati atau mengalami gangguan mental.

Entah di mana silapnya, kini makin ramai terutama pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumah tangga atau sudah bercerai seakan berlumba-lumba membuka aib pasangannya di media sosial.

Sesudah bercerai, masing-masing tanpa ada perasaan segan dan silu membuka aib pasangan, umpamanya kau buka aib aku...aku buka aib kau!

Artikel Berkaitan:

Habis semua dicerita kepada umum menerusi platform media sosial.

Jika masih ingat, kisah membuka aib pasangan suami isteri pernah menjadi tragedi hitam buat sebuah keluarga di Batu 9, Cheras.

Dalam kejadian Mei tahun lepas, seorang wanita dibelasah suaminya sehingga mati sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, gara-gara memuat naik satu hantaran di media sosial yang mendakwa suaminya itu mempunyai hubungan sulit.

Kata polis, mangsa dipukul dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian.

Bagi penulis kejadian seperti ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada semua pasangan suami isteri untuk tidak membuka aib kerana tidak semua hubungan dalam rumah tangga perlu dihebohkan terutama di media sosial.

Seperti kata penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani perbuatan memberitahu dan menyebarkan keaiban berkeluarga di khalayak sosial adalah haram dalam beragama.

Tambah beliau, dalam berkeluarga ada ketuanya, suami mestilah memimpin keluarganya ke syurga, manakala isteri mestilah taat kepada suami selagi tidak kepada perkara maksiat.

Malah dalam konteks rumah tangga, perselisihan faham juga seharusnya diselesaikan dengan cara yang disarankan agama bukan mendedahkan di media sosial.

Buat pasangan suami isteri yang sedang dalam menghadapi masalah rumah tangga, seeloknya berbincanglah dengan penuh kedamaian.

Pesan penulis, usahlah kita memuat naik status di media sosial kerana ia bukanlah medium untuk meluahkan perasaan bahkan boleh menjadi satu tempat tercetusnya masalah yang lebih besar.

Harus diingat juga, perbincangan hal yang bersifat membuka aib pasangan secara terbuka di media sosial dengan tidak terkawal boleh dihukum penjara tidak melebihi setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut peguam, Datuk Ikbal Salam, kesalahan itu terletak di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berkaitan penghantaran perkataan yang bersifat lucah dan jelek.

Namun sebagai orang Muslim, umat Islam juga dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh dan tidak disukainya.

Aib saudara seagama adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya.

*Siti Shamila Che Zahari ialah Editor Pengisian Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!