Warga emas maut kereta dipandu terbabas

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas melanggar tiang lampu sebelum tercampak ke kawasan semak di tepi jalan di Lebuhraya Lingkaran Tengah dari Seremban ke Labu, pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 PBK Mohd Syazwan Saidy berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pukul 9.50 pagi dan tiba dilokasi pukul 9.58 pagi bersama tujuh anggota.

"Apabila bomba tiba, didapati kereta mangsa berada di kawasan semak di tepi jalan. Mangsa Chong Seng Teik, 65, bersama isterinya Teo Kween Lan, 62, yang menaiki Honda Accord ketika itu dalam perjalanan dari Taman Seremban menghala ke Seremban Gateway kerana ada janji temu dengan pihak peguam.

"Sampai di lebuh raya itu, si suami yang memandu kereta itu mengalami sakit dada dan batuk berdarah lalu pengsan secara tiba-tiba.

“Berikutan itu, isterinya terpaut stereng kereta lalu terbabas melanggar tiang lampu dan menjunam di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, anggota bomba mengambil masa kurang lima minit bagi mengeluarkan mangsa serta membuat rawatan awal di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Syazwan berkata, menurut saksi kejadian Rubendran Nagaiah, 37, ketika berada di belakang kereta mangsa, beliau terlihat lampu kecemasan kereta itu dihidupkan dan kereta bergerak perlahan.

"Apabila saya memotong kenderaan tersebut lalu memerhatikan cermin belakang mendapati kereta Honda itu telah melanggar tiang lampu jalan dan terbabas... saya berhentikan kenderaan dan menghubungi talian terus ke balai bomba,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh mengesahkan kejadian itu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan. Akibat kemalangan ini, mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan kanan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

“Namun, kira-kira pukul 10.26 pagi, mangsa disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Zon merah Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Bedah siasat akan dikendalikan oleh pihak forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!