Fandi puas hati dengan kebangkitan skuad Tok Gajah
PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memuji kebangkitan yang dipersembahkan anak buahnya apabila mengikat Terengganu FC (TFC) 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul, pada Ahad malam.
Katanya, ketinggalan 0-2 pada babak pertama tidak mematahkan semangat pemain skuad Tok Gajah untuk memastikan tidak terlepas mata.
"Saya berpuas hati dengan jentera serangan pasukan yang mempamerkan prestasi positif terutama pada babak kedua untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata.
"Kita bernasib baik kerana angin kedua datang (kebangkitan pada babak kedua). Alhamdulillah, kita boleh beri pujian kepada pemain dan semangat sebegini yang kita inginkan," katanya pada sidang akhbar sejurus berakhirnya perlawanan itu.
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, pertukaran pemain dilakukan pada minit ke-67 selepas melibatkan ancaman berterusan TFC pada perlawanan terbabit.
Ujarnya, langkah itu dilakukan bagi memastikan anak buahnya mendapat keserasian seterusnya melakukan serangan balas.
"Saya lihat kepantasan (serangan) Terengganu (TFC) amat luar biasa, jadi saya membuat keputusan menukar pemain dari bangku (pemain simpanan).
"Selepas buat keputusan itu, dua gol dijaringkan dan ia adalah penyudah yang luar biasa," katanya.
Pada aksi itu, pemain import TFC, Omid David Nazari menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 dan beliau menambah koleksi gol peribadinya pada minit ke-71.
Pada minit ke-78, pemain Sri Pahang, Rafael Feital Da Silva menghukum kelalaian benteng pertahanan TFC apabila menjaringkan gol pertama.
Selang dua minit selepas itu, kapten pasukan, Sergio Fabian menjaringkan gol kedua untuk skuad Tok Gajah untuk memastikan tuan rumah tidak ketinggalan di halaman sendiri.
Ketika ini, skuad Tok Gajah berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengutip 44 mata daripada 22 perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!