Bekas menteri lelong jam Rolex untuk Palestin
SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkilfi Mohamad Al-Bakri melelong jam Rolex miliknya di platform Facebook bermula pada Isnin untuk didermakan kepada rakyat Palestin.
Menurut Zulkilfi, jam mewah itu merupakan hadiah diterimanya daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ketika menyandang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Dengan menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan bilion dolar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000.
“Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana.
“Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen,” katanya menerus hantaran di Faceboooknya pada Isnin.
Kementerian Kesihatan di Wilayah Gaza menyatakan serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 7,703 orang, dengan majoriti daripada mereka merupakan orang awam dan kanak-kanak sejak tercetusnya perang antara pejuang Hamas dan rejim Zionis pada 7 Oktober lalu.
Menceritakan lebih lanjut mengenai jam istimewanya itu, ujar Zulkifli, meskipun hadiah itu diterimanya pada 2017, namun ia hanya dibuka selepas beliau meletakkan jawatan sebagai menteri pada 2021 lalu.
“Kisahnya bermula pada Februari 2017 apabila saya mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara,” ujarnya.
Jelasnya, beliau ketika itu diminta oleh kerajaan Malaysia selaku Mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua mufti dan ulama di negara ini menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, Raja Salman dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.
Tambahnya, beberapa hari selepas majlis berkenaan, beliau dihubungi Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia mengenai hadiah daripada kerabat diraja itu.
“Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut.
"Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri.
"Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.
“Apabila saya meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya.
"Di sana, barulah saya membukanya dan memakainya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!