24 isu kehilangan wang awam, pembaziran dikenal pasti

Ramkarpal Singh merangkap Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ramkarpal Singh merangkap Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dari tempoh 2020 hingga 2021 mengenal pasti sebanyak 24 isu melibatkan ketirisan wang awam dan pembaziran di beberapa kementerian, agensi serta jabatan peringkat persekutuan serta negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, isu-isu yang diletakkan sebagai kategori punitif itu melibatkan ketirisan dari segi kehilangan wang awam dan pembaziran serius sama ada telah selesai diambil tindakan atau masih dalam siasatan lanjut.

“Sehingga 30 Oktober 2023, 12 isu telah selesai disiasat iaitu dua isu melibatkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 10 isu melibatkan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan dan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Manakala 12 isu lagi masih dalam siasatan iaitu lima isu melibatkan siasatan oleh SPRM, enam siasatan isu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu siasatan isu oleh Malaysia Competition Commission (MyCC),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi jawab lisan Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Taiping) berhubung tindakan kerajaan dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam LKN 2020 dan 2021 berkenaan ketirisan meliputi kehilangan wang awam serta pembaziran yang serius.

Ujar Ramkarpal, berdasarkan siasatan yang telah dilaksanakan sehingga kini, seorang penjawat awam telah dituduh di mahkamah pada 16 April tahun ini di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta yang sama dan 25 orang penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib.

“Sebagai langkah ke hadapan, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai tahun ini telah memutuskan supaya LKAN dibentangkan secara berkala kepada jemaah menteri dengan format pelaporan baharu lebih berstruktur dan terperinci supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan dengan lebih berkesan oleh setiap kementerian atau agensi,” ujarnya.

Dalam pada itu, ulas beliau, terdapat beberapa syor daripada laporan-laporan tersebut di mana tindakan telah pun diambil oleh jabatan atau agensi yang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, pertama oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di mana LKAN pada 2021 telah pun melaporkan bahawa duti kastam sejumlah RM72.32 juta yang terkurang kutip bagi tempoh 2015 hingga 2021 oleh kerana tidak memenuhi syarat pemastautin pemilik kenderaan.

“JKDM telah pun menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk menilai kriteria pemastautin.

“Kedua, berkenaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), LKAN pada 2021 telah melaporkan bahawa penalti untuk perkhidmatan mencetak dokumen terkawal sebanyak RM149,178 tidak dikutip oleh JPJ bagi tempoh 2019 hingga 2020.

Jelasnya, berdasarkan syor LKAN, JPJ kini telah mengutip balik sebanyak RM72,666 daripada jumlah itu dan seterusnya menjalankan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap terma-terma perjanjian tersebut.