Pelajar seronok tandas sekolah berwajah baharu, bersih
KUALA LUMPUR - Ada pelajar yang sanggup tidak pergi ke tandas sepanjang waktu persekolahan kerana keadaan tandas yang kotor dan rosak.
Senario itu kini sudah berubah kerana kebanyakan tandas sekolah yang rosak dan kotor telah dibaik pulih bagi memastikan setiap pelajar mendapat kemudahan yang selesa.
Pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah, Sarah Mohd Redza, 15, berkata, tandas di sekolahnya kini berubah wajah dan bertambah ceria malah pelajar juga semakin bersemangat untuk menjaga kebersihan.
"Dulu (sebelum baik pulih) tiada bidet, cuma ada paip getah... itu pun tercabut-cabut dan keadaan tandas memang agak kotor dan kurang selesa. Dulu saya memang tak biasa pakai (guna tandas di sekolah) tapi sekarang okey dah.
"Sekarang tak boleh conteng-conteng (dinding), dah tampal kertas dinding. Tandas dah bersih, jadi kena guna elok-elok,” katanya kepada Bernama.
Bagi Syed Mohamad Syed Nasir, 17, pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah berasrama berkata tandas di sekolahnya kini bukan sahaja bersih, malah peralatan di dalamnya juga baharu dan nampak kemas.
"Sebelum ini saya ada terbaca (laporan) tentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap mengenai tandas sekolah yang rosak.
"Tidak lama lepas itu saya tengok tandas di sekolah saya dibaik pulih. Alhamdulillah, tandas sudah bersih dan selesa digunakan,” katanya.
Berkongsi pandangan sama Arif Daniel, 16, berkata, sebagai atlet olahraga, kebersihan tandas di sekolah adalah penting kerana tandas juga digunakan untuk menyalin pakaian dan membersihkan diri setelah menjalani latihan sukan.
"Kadang-kadang ada pelajar kurang menjaga tandas di sekolah dengan baik, jadi perkara macam ini perlu diubah,” katanya dan menambah pelajar perlu bijak dan matang dalam menggunakan infrastruktur awam supaya kekal berfungsi dengan baik.
Arif berkata, setakat ini tandas di sekolahnya belum dibaiki dan berharap ia dapat disegerakan kerana dia juga tidak sabar untuk menggunakan tandas baharu yang bersih.
Pada 3 Jun lepas, Perdana Menteri membangkitkan mengenai isu tandas sekolah kotor yang disifatkan beliau sebagai tidak berkesudahan.
Anwar berkata beliau tahu mengenai keadaan tandas sekolah yang kebanyakan rosak dan kotor, namun kemudahan asas itu kekal tidak terjaga seolah-olah dibiarkan oleh pihak yang bertanggungjawab dan beliau telah mengarahkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk menyemaknya.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat' pada 13 Oktober lepas berkata projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya.
Beliau berkata tidak boleh diterima akal bahawa selama ini anak-anak dibiarkan mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, guru perlu mendidik pelajar mengenai cara menggunakan tandas dan kepentingan kebersihan supaya generasi Madani dapat melahirkan insan yang mementingkan kebersihan.
"Saya harap generasi baharu nanti adalah yang tahu menjaga kebersihan, kalau tak dapat nak mencapai (mentaliti kebersihan) macam orang Jepun, sekurang-kurangnya kita ada cita-cita nak capai,” katanya.
Menurut Aminuddin, ibu bapa juga perlu menitikberatkan rasa tanggungjawab terhadap menjaga kebersihan dalam diri anak-anak di rumah selain turut menyarankan agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyokong inisiatif terbabit dengan memperluas projek penambahbaikan tandas yang diperlukan.
Menyambut baik inisiatif berkenaan, seorang kerani Mohd Azlan Najamudin, 44, berkata, infrastruktur yang baik perlu dijaga dan budaya vandalisme semestinya dibendung.
Bapa kepada pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah itu berpandangan semua pihak harus bekerjasama dalam memastikan pelajar dididik untuk menjaga kebersihan tandas di sekolah.
Sebelum ini, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dilapor memaklumkan pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan projek penyelenggaraan kecil melibatkan penyelenggaraan tandas bagi 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta bermula pertengahan Julai lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!