Puluhan penduduk Palestin terbunuh, cedera dalam serangan udara Israel di Gaza
GAZA - Berpuluh-puluh penduduk Palestin terbunuh manakala yang lain cedera dalam serangan udara tentera penceroboh Israel ke atas bangunan kediaman dan rumah di pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza pada petang Ahad, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Menurut sumber, pesawat perang Israel mengebom kediaman di bandar Beit Lahia dan Kem Jabalia di utara Semenanjung Gaza.
Masjid Muhammad Al-Fateh di Beit Lahia turut dibom dan musnah sepenuhnya.
Serangan itu turut menyasarkan beberapa rumah di kawasan Al-Saftawi, utara Gaza City membunuh kira-kira 15 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 30 yang lain.
Selain itu, pesawat perang Israel turut memperhebat serangan ke atas kawasan perumahan di Gaza City dan bahagian utara bandar.
Kawasan sekitar Hospital Al-Quds turut dibom mencederakan beberapa pesakit dan orang awam.
Jet Israel juga mengebom sebuah rumah di Kem Pelarian Al-Shati, barat Gaza City, mencederakan berpuluh-puluh orang.
Selain itu, pesawat penceroboh turut mengebom kediaman di bandar Khan Yunis yang membunuh dua orang dan mencederakan beberapa yang lain.
Di Rafah City, tujuh orang maut selepas kediaman mereka dibom. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!