Kenderaan berat parkir di taman perumahan berdepan tindakan tegas
SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik lori, treler dan bas yang meletakkan kenderaan mereka di kawasan taman perumahan di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, terdapat aduan daripada penduduk mengenai sikap pemilik kenderaan berat yang menyebabkan halangan di tempat awam.
Tegasnya, pihak penguatkuasaan di setiap PBT akan memantau perkara itu dari masa ke masa dan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan terbabit.
"Kita akan meminta PBT menguatkuasakan larangan meletak kenderaan berat di taman perumahan.
"Pemilik kenderaan berat perlu parkir di tempat sewajarnya dan bukan di kawasan perumahan yang menghalang kelancaran lalu-lintas dan menimbulkan kacau ganggu serta berisiko kemalangan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ditanya adakah kerajaan negeri bersedia menguatkuasakan larangan meletak kenderaan di hadapan rumah seperti di Johor, Suee Lim berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak membincangkan perkara berkenaan.
"Buat masa ini tiada ke arah itu kecuali ada permintaan mendesak, bagaimanapun pada pandangan saya semua dalam keadaan terkawal," jelas beliau.
Mengulas mengenai persiapan PBT di Selangor menghadapi keadaan cuaca tidak menentu dan Monsun Timur Laut, Suee Lim berkata, pada masa ini berada pada tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Jelas beliau, PBT akan memastikan infrastruktur awam di kawasan berisiko banjir diselenggara selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini.
"Kalau imej PBT ini dapat dinaikkan bermakna (pandangan rakyat kepada) kerajaan negeri juga secara tidak langsung bertambah baik," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!