JDT perlu masa saingi kelab Jepun, Korea
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) masih memerlukan masa untuk menyaingi kelab dari Jepun, Korea Selatan atau dari Timur Tengah dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kelab Harimau Selatan itu baharu sahaja memulakan projek berbanding pasukan lain di Asia, namun telah menunjukkan perkembangan yang positif.
"Saya rasa JDT adalah yang terbaik hari ini dari segi komersial, infrastruktur dan saya rasa kita adalah yang terbaik di Asia Tenggara. Mungkin kita memerlukan masa. Seperti kelab-kelab lain, mereka telah memulakan projek berpuluh tahun atau berbelas tahun sebelum kita.
"Apa yang saya buat bermula pada tahun 2013. Urawa Red Diamonds (kelab Jepun) telah lakukan sejak tahun 90-an. Jadi, dari segi prestasi, perkembangan akar umbi dan sikap profesionalisme, kita masih jauh.
"Orang kecewa kita kalah 1-3 kepada Ulsan Hyundai. Saya pergi sana dengan hati terbuka, bukan saya nak cakap saya tak percaya kepada pasukan. Saya percaya kita akan berjuang, kita pasti akan berjuang tetapi harapan saya tidak begitu tinggi.
"Jadi, apabila kita kalah, saya macam ok kita kalah tapi ideanya adalah untuk berada dalam pertandingan itu setiap tahun dan kita akan cuba bersaing sebaik mungkin," katanya menerusi podcast 'Keluar Sekejap' di YouTube pada Ahad.
Dalam saingan ACL musim ini, JDT diundi dalam Kumpulan I bersama kelab dari Jepun, Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Bg Pathum (Thailand).
Skuad Harimau Selatan itu berjaya meraih kemenangan menewaskan Bg Pathum, namun tewas kepada Kawasaki dan Ulsan dengan JDT masih mampu layak ke pusingan seterusnya sekiranya berjaya mencatat keputusan positif dalam pusingan kedua peringkat kumpulan.
Untuk rekod pencapaian terbaik JDT adalah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik tahun lalu sebelum dikecewakan Urawa Red.
Menurut Tunku Ismail, beliau tidak melihat kekalahan dalam dua perlawanan peringkat kumpulan di ACL itu sebagai satu kegagalan sebaliknya kelab itu telah melalui peningkatan memberangsangkan.
"Saya tidak nampak kekalahan di ACL sebagai satu kegagalan sebaliknya saya melihat ia sebagai satu peningkatan dan tahun depan kita akan melakukan yang lebih baik.
"Tetapi, kalau awak kata sama ada kita bersedia untuk lawan dengan Jepun dan sebagainya, ya kita beri Kawasaki tentangan sebelum kalah 0-1 dan tahun lepas kita seri dengan mereka. Kita kalahkan Ulsan Hyundai dua kali dan sekarang kita kalah dengan mereka 1-3.
"Jadi, kita bukan pasukan belasahan. Kita boleh lawan dan saya rasa kita berada di landasan yang betul dalam bola sepak," titahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!