Hasil kajian gubal Akta Pembelaan Awam dijangka siap sebelum tahun hadapan
KUALA LUMPUR - Hasil kajian penyelidikan berhubung penggubalan Akta Pembelaan Awam untuk memperkasakan akses bantuan guaman bagi kes jenayah kepada golongan kurang berkemampuan dijangka siap sebelum tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini, Jawatankuasa Akta Pembelaan Awam (JAPA) sedang membuat kajian perbandingan liputan kerangka perundangan berkaitan pembelaan awam di negara terpilih seperti Singapura, Australia, New Zealand, Taiwan dan United Kingdom.
"(Ia) mengambil kira input utama berdasarkan kerangka perundangan dan amalan terbaik di luar negara berkaitan pembelaan awam, implikasi kepada perkhidmatan bantuan guaman secara holistik serta kesan terhadap Akta sedia ada di Malaysia terutama Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26) dan Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166).
"Kajian itu diharapkan akan dapat merangka pendekatan dan dasar kerajaan baharu jika kerajaan mahu meneruskan komitmen untuk mewujudkan satu Akta Pembelaan Awam,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Pada 24 Februari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan kerajaan akan meneliti ikhtiar untuk menggubal satu Akta khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma untuk kes jenayah kepada golongan kurang berkemampuan.
Justeru, Azalina berkata inisiatif Mahkamah Bergerak bagi kes sivil akan diperluas bagi memudahkan rakyat memperoleh perkhidmatan mahkamah sekali gus menjadikan akses kepada keadilan sentiasa tersedia kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.
Selain itu, katanya peranan Akademi Kehakiman Malaysia dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia
juga akan diperkasa dalam melatih hakim mahkamah secara lebih terancang dan berkesan.
Mengenai isu lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) terlebih dahulu sebelum membentangkan Akta Kebebasan Maklumat.
Beliau berkata perkara itu bagi membolehkan pemberi maklumat mendapat skop perlindungan yang lebih luas memandangkan pembentangan Akta itu tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
"... mengenai Akta Kebebasan Maklumat, perlunya pindaan dilakukan tetapi mungkin (jika) tidak sempat (dibentang) tahun ini, Insya-Allah pada tahun hadapan.
"Akta Kebebasan Maklumat ini sangat penting kerana perlu dilihat sekali dengan Akta Rahsia Rasmi 1972, jadi (ia) perlu satu tindakan mengimbangi. Akta Rahsia Rasmi kemungkinan dipinda supaya Akta Pemberi Maklumat mempunyai skop yang lebih luas," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!