Tamat subsidi ayam: Bukan lesen naikkan harga ayam sewenangnya - Peniaga
KUALA LUMPUR - Mulai Rabu ini, harga ayam kembali dipulangkan kepada pasaran selepas kawalan harga dan subsidi diumumkan tamat oleh kerajaan hari ini sebagai langkah mengurangkan ketirisan yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Penamatan harga kawalan ayam itu yang menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan juga membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.
Pengumuman itu meskipun melegakan para peniaga, namun beberapa daripadanya yang ditemui menegaskan ia bukanlah lesen untuk mereka menaikkan harga sewenang-wenangnya selain tidak mahu membebankan pengguna yang turut terkesan dengan kos sara hidup.
Di Perlis, dua peniaga ayam, Mohammad Hafiz Zamri, 21, dan Mardiana Mohd, 37, masing-masing sependapat bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu terus melakukan pemantauan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan mengenakan harga melampau.
"Saya faham dan setuju dengan langkah kerajaan ini untuk elak ketirisan subsidi tetapi pada masa sama KPDN perlu teruskan pemantauan dengan lebih kerap selepas ini untuk pastikan harga tidak membebankan pengguna," kata Mohammad Hafiz.
Di Selangor, peniaga ayam di Pasar Seksyen 16 Shah Alam, Sazali Ramli, 44, berkata, penamatan subsidi dan kawalan harga ayam dijangka tidak akan memberi kenaikan harga yang signifikan kepada pengguna dan ketika ini peniaga menjual ayam di bawah paras kawalan harga yang ditetapkan iaitu RM9.40 untuk sekilogram.
"Ketika ini penjual atau peniaga lebih selesa untuk menjual di bawah paras harga kawalan kerana harga ayam sudah stabil dan kuantiti ayam juga banyak. Kesan penamatan subsidi ini juga tidak akan dirasai dalam tempoh jangka masa terdekat tapi sekiranya ada kenaikan harga, ia mungkin tidak akan mencapai lebih RM10 untuk sekilogram ayam,” katanya.
Di Terengganu, pemborong ayam Mohammad Shafiq Fikri Rosli, 30, dari Syarikat Sapik Poultry Trading di Kuala Terengganu, berkata berdasarkan pengalaman lepas, harga ayam dijangka tidak mengalami kenaikan yang ketara dengan jangkaan sekitar RM0.20 hingga RM0.30 sekilogram.
"Kerajaan masih boleh membuat kawalan bagi harga apungan bagi menghalang ia naik sangat tinggi," katanya.
Di Pahang, peniaga ayam Nik Azwar Nik Dea, 35, dari Kuantan, berkata, beliau tidak berdepan masalah untuk mengekalkan harga RM9.40 sekiranya pemborong tidak menaikkan harga terlalu drastik yang akhirnya akan menyebabkan kos perniagaannya turut meningkat.
"Kalau pemborong naikkan harga, kami perlu menaikkan sedikit harga untuk menampung kos kedai kerana saya tidak mengambil kos upah potong. Jika harga dapat dikekalkan, saya tiada masalah untuk menjual pada harga sama,” katanya.
Di Perak, pembekal ayam segar P. Vikram, 33, berkongsi pandangan sama dengan Nik Azwar, menyifatkan pengumuman kerajaan itu memberikan kelegaan buat peniaga.
Di Negeri Sembilan, penternak ayam di Kota, Rembau, Saiful Azman Mohd Zin, 47, yang menyambut baik langkah kerajaan itu turut mencadangkan supaya harga makanan jagung untuk ternakan ayam dapat diturunkan bagi memastikan harga ayam akan dapat terus kekal rendah sekali gus tidak membebankan pengguna.
Di Kelantan, Pengerusi Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah Ahmad Nazri Che Omar, 54, berharap kementerian berkaitan meneruskan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan langkah menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam.
Berkongsi pandangan sama, peniaga makanan, Samiha Abdul Hadi, 35, juga mengharapkan peniaga ayam tidak menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.
Di Kedah, peniaga roti jala dan pulut kuning, Nurzaila Abd Nasir, 40, dan peniaga sate, NurHazwani Ahmad, 28, yang memerlukan ayam dalam kuantiti banyak bagi perniagaan mereka mengharapkan agar Jualan Rahmah diperbanyakkan bagi membolehkan peniaga dan rakyat terus menikmati harga ayam pada kadar rendah.
Peniaga ayam di Pulau Pinang, Mohd Shafri Mazlan, 42, berkata, pengapungan harga ayam bukanlah tiket untuk peniaga menaikkan harga sesuka hati sebaliknya langkah itu dilihat dapat membantu peniaga menampung pelbagai kos jualan ayam yang dihadapi ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini berkata kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa Rabu ini selain bersetuju untuk bagi subsidi telur gred A, B, C diteruskan mengikut mekanisme sedia ada. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!