Rangka ekonomi penjagaan sokong wanita terus bekerja

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Sektor ekonomi penjagaan melibatkan kanak-kanak dan warga emas memerlukan satu kerangka dan peraturan tertentu bagi mengelakkan kerjaya wanita tersekat kerana memilih untuk menjaga keluarga.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerangka dasar itu diyakini dapat menyokong wanita untuk terus bekerjaya tanpa bimbang mengenai penjagaan anak atau ibu bapa sekali gus dapat mengukuhkan pembangunan ekonomi negeri.

Beliau turut berkata, menerusi kerangka itu juga, penjagaan di pusat jagaan sedia ada yang kebanyakannya masih tidak formal dapat diselaraskan bagi menjamin keselamatan anak-anak dan ibu bapa di pusat penjagaan.

"Mungkin ada satu dua (telah) dilaksanakan (secara formal) di pusat penjagaan untuk warga emas yang banyak di Petaling Jaya atau mungkin ada institusi-institusinya tetapi belum diseragamkan sepenuhnya sebelum ini.

"Jadi saya harap simposium ini dapat mengumpulkan semua (buah) fikiran daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, badan badan bukan kerajaan dan individu serta semua pihak terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Simposium Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor di sebuah hotel di Seksyen 14 pada Isnin.

Tambahnya, ekonomi penjagaan juga perlu diberi perhatian berikutan kadar kelahiran di Selangor semakin berkurang dengan purata 1.9 pada 2018 berikutan kebimbangan terhadap kos tinggi dan kualiti di pusat penjagaan.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!