Kanak-kanak mangsa dera diserah kepada ibu kandung

Kanak-kanak mangsa dera diserahkan kepada ibunya selepas mendapat perintah mahkamah berhubung hak penjagaan di Mahkamah Kanak-kanak Johor Bahru, Johor Bahru pada Isnin.
Kanak-kanak mangsa dera diserahkan kepada ibunya selepas mendapat perintah mahkamah berhubung hak penjagaan di Mahkamah Kanak-kanak Johor Bahru, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seorang ibu selepas mendapat hak penjagaan anaknya yang sebelum ini menjadi mangsa dera semasa di bawah jagaan suami dan teman wanitanya sejak lebih enam bulan lalu.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai M Ana, 34, bersyukur apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyerahkan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu kepadanya selepas mendapat perintah hak penjagaan dari mahkamah pada Isnin.

Katanya yang berniaga nasi lemak dan tinggal di Kuala Selangor, Selangor, itu merupakan detik yang ditunggu-tunggu sekali gus mengubat rindu terhadap anaknya itu selepas dibawa bapanya tinggal di daerah ini selepas mereka tidak lagi tinggal bersama.

"Ini impian yang menjadi kenyataan.

"Saya bersyukur kerana mahkamah membenarkan penempatan sementara bagi anak saya selama dua bulan di kediaman keluarga kami di Kuala Selangor.

"Saya akan membawa anak bongsu daripada tiga beradik ini hari ini.

"Dia menyatakan sudah lama mahu tinggal bersama saya dan ingin bersekolah seperti kanak-kanak lain," katanya ketika ditemui.

Terdahulu, perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nor Fatin Mohamad Farid di Mahkamah Kanak-kanak Johor Bahru di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zaid Ikhwan Lim dan ahli keluarga mangsa.

Sementara itu, Ana berkata, keluarganya berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anaknya cepat sembuh dan dapat menjalani hidup seperti sedia kala.

Pada 22 Oktober lalu, bapa mangsa dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan mangsa sehingga kesihatannya merosot dari Julai sehingga Oktober tahun ini.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, teman wanitanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan fizikal pada tangan kanan kanak-kanak berkenaan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pulai Jaya di sini antara Julai hingga 12 Oktober lalu.

Mangsa diselamatkan pada 13 Oktober lalu hasil laporan polis dilakukan seorang jiran yang mendakwa kanak-kanak itu dikurung dalam tandas, dalam keadaan tidak bermaya dan bogel.

Kini kanak-kanak tersebut yang kelihatan kurang bernutrisi masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!