Cubaan seludup anak pokok hiasan bernilai RM130,000

Anggota Maqis menunjukkan anak pokok hiasan yang cuba diseludup masuk ke negara ini secara tidak sah dan berjaya dirampas oleh PGA Batalion 7 Kuantan.
Anggota Maqis menunjukkan anak pokok hiasan yang cuba diseludup masuk ke negara ini secara tidak sah dan berjaya dirampas oleh PGA Batalion 7 Kuantan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sebanyak 26,388 anak pokok hiasan bernilai RM130,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, semalam.

Rampasan kira-kira jam 7 petang itu dilakukan di pangkalan haram Limau Purut dekat sini hasil risikan dan intipan sebelum ini.

Kesemua barangan rampasan itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 25,240 anak pokok jarum merah jambu cuba diseludup masuk secara haram ke negara ini.

"Selain itu sebanyak 1,148 anak pokok fern turut dirampas dalam serbuan tersebut," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua anak pokok hiasan tersebut dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan.

Katanya, menjadi suatu kesalahan mengimport anak pokok hiasan ini tanpa mempunyai permit import yang sah dari Maqis.

"Mereka yang terlibat boleh didakwa bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) Akta sama.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohd Azam berkata, Maqis akan terus menjalin kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan sempadan yang lain dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!