Lan Solo, Syura, tiga individu lain burukkan Siti Nordiana - Saksi

Syura (kiri), Lan Solo (tengah) dan Siti Nordiana.
Syura (kiri), Lan Solo (tengah) dan Siti Nordiana.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang peminat tegar Siti Nordiana Alias memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa dia menyaksikan siaran langsung Instagram (IG) penyanyi Lan Solo dan Syura bersama tiga pihak lain, memburukkan nama baik artis kesayangannya itu, dua tahun lalu.

Nur Afifah Balqis Mohd Zulqarnaen, 20, berkata demikian ketika perbicaraan kes saman fitnah Siti Nordiana selaku plaintif terhadap Lan Solo dan isterinya, Nur Sheila Hassim serta Syura sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Sementara defendan keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Ketika prosiding, saksi itu yang juga penuntut di salah sebuah universiti di sini berkata, lima defendan itu turut memburukkan imej pengurus Siti Nordiana, Mohammad Al Anas Osman, 39.

"Nama Siti Nordiana dan Mohammad Al Anas berulang kali disebut mempunyai perangai atau watak buruk.

"Justeru saya telah menunggu untuk mendengar siaran langsung tersebut atas dasar minat dan keinginan bagi mengetahui perkembangan artis tanah air," katanya menerusi pernyataan saksi.

Dalam prosiding tersebut, peguam, Azlan Abdul Razak hadir bagi mewakili Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38; Nur Sheila, 38; Zuraidah Badron, 37, atau Syura.

Sementara peguam Fithril Hakim Ab Jalil mewakili Sam dan peguam Nur Izzaida Zaman bagi pihak Razidah.

Artikel Berkaitan:

Saksi itu turut mengaku bahawa kenyataannya berhubung gosip yang dilemparkan lima individu tersebut hanya bersifat pendapat semata-mata.

Dia juga memberitahu tidak pernah mengesahkan semua dakwaan yang dibuat Lan Solo serta rakan-rakan, dengan pemenang juara Gegar Vaganza 2 itu sendiri.

Ketika sesi soal balas oleh Nur Izzaida, Nur Afifah Balqis berkata, dia mengakui telah melayari laman YouTube dan berjaya menemui rakaman langsung tersebut atas nama ‘Manusia Lemah’.

“Saya kemudiannya memuat turun rakaman tersebut ke CD (cakera padat) sebanyak tujuh bahagian,” katanya.

Dia menyatakan telah merakam sendiri video tersebut ketika siaran langsung dibuat.

Nur Izzaida: Saya cadangkan, awak tiada rakaman IG itu.

Nur Afifah Balqis: Tidak setuju, sebab saya sendiri ada rakam siaran berkenaan.

Nur Izzaida: Jika awak sendiri yang rakam, kenapa awak perlu bersusah payah mencarinya di YouTube ‘Manusia Lemah’?

Nur Afifah Balqis: Ini kerana saya cuba cari di IG tapi tidak jumpa, sebab telah dihapuskan. Jadi saya cuba pula di YouTube dan nama ‘Manusia Lemah’ muncul di dalam carian.

Nur Izzaida: Jika awak sendiri ada rakaman, mesti awak beri kepada mahkamah, tidak perlu cari di YouTube. Saya cadangkan awak sebenarnya tidak mempunyai rakaman tersebut.

Nur Afifah Balqis: Ya, betul.

Nur Izzaida: Jadi, awak beri keterangan palsu dalam mahkamah.

Nur Afifah Balqis: Ya.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana, saksi itu memberitahu bahawa dia sebenarnya terkeliru dengan soalan yang diajukan pihak defendan.

“Saya keliru, ingatkan peguam tanya mengenai sama ada saya ada rakaman asal atau YouTube,” kata saksi ini.

Prosiding di hadapan Hakim, Dr John Lee Kien How@Mohd Johan bersambung 24 November depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!