PPZ-MAIWP serah wakalah zakat kepada KPM
PUSAT Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyerahkan wakalah zakat berjumlah RM1,096,698 kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu majlis yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya pada Isnin.
KPM menerusi satu kenyataan berkata, pelaksanaan majlis tersebut sebagai penghargaan kepada seluruh warga kementeriannya yang menunaikan kewajipan berzakat terutamanya zakat pendapatan.
"Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan adalah satu langkah proaktif KPM bagi memberikan kesedaran buat seluruh warga KPM untuk menunaikan zakat pendapatan.
"Wakalah adalah dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP yang kemudiannya diagihkan kepada asnaf yang layak.
"Setakat ini, Zakat Wakalah KPM adalah berjumlah RM1,096,698 yang akan diserahkan kepada KPM bagi tujuan pengagihan.
"Jumlah keseluruhan kutipan zakat KPM pada tahun 2022 adalah sebanyak RM8,773,587," kata kenyataan itu.
Sementara itu, dalam majlis sama turut diadakan Sumbangan Zakat Murid Asnaf Putrajaya oleh Etiqa Family Takaful Berhad.
Yayasan Didik Negara (YDN) diberi tanggungjawab sebagai peneraju utama inisiatif itu yang menyelaras keseluruhan peruntukan bagi memastikan agihan cekap, teratur dan sistematik.
Menurut KPM, ia termasuk pengagihan peruntukan zakat kepada murid asnaf di Putrajaya berjumlah RM113,500 yang melibatkan seramai 1,135 orang murid hasil sumbangan Etiqa Family Takaful Berhad.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam ucapannya memberi penekanan terhadap kepentingan institusi zakat yang dapat membantu menangani isu kemiskinan multidimensi dalam kalangan murid.
Jelasnya, langkah tersebut juga selari dengan hasrat untuk menoktahkan kemiskinan dan menyeru komitmen serta kerjasama semua pihak termasuk memperkukuhkan ekosistem institusi zakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!