'Saya tak sunting gambar Wan Azizah' - Ratu Naga
KUALA LUMPUR - Penyedia kandungan TikTok Pro Perikatan Nasional (PN), Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga menyifatkan laporan polis terhadapnya sebagai palsu dan fitnah.
Syarul Ema Rena berkata, dakwaan dia berkongsi semula tangkap layar daripada akaun media sosial Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk memfitnah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah adalah tidak berasas.
"Laporan yang dibuat ke atas saya adalah laporan palsu kerana saya tidak edit atau membuat apa-apa komen pun pada gambar berkenaan.
"Kita print screen (tangkap layar) benda (gambar) itu seadanya, kita tak ada edit atau apa seperti yang dituduh. Boleh tengok di 'wall' Netanyahu memang gambar itu ada," katanya ketika ditemui selepas selesai dirakam percakapan di Bukit Aman pada Isnin.
Syarul Ema Rena hadir bersama peguamnya ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Syarul Ema Rena menerusi satu hantaran di Instagram berkongsi satu video mengandungi tangkap layar memaparkan akaun media sosial Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Video berkenaan memaparkan gambar isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu.
Mengulas lanjut katanya, hantaran itu bukan hanya dikongsinya semula malah ramai individu lain berbuat demikian sebelum hantaran itu tular.
"Memang ramai 'repost', sebelum saya buat pun ada juga sudah 'repost'. Saya 'repost' tidak bagi apa-apa komen, hantaran saya kosong sahaja.
"Mereka buat laporan polis ke atas orang yang salah. Saya akan buat laporan ke atas laporan palsu yang dibuat terhadap saya," katanya.
Menurutnya, selain perlu menjawab lebih kurang 33 soalan, polis turut merampas telefon pintar miliknya bagi membantu siasatan.
"Polis turut merakam percakapan berhubung pembabitan saya pada perhimpunan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat 25 Oktober lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!