Pelan induk diperlukan sokong pembangunan Proton City

Saarani (tengah) mendengar taklimat ketika membuat lawatan selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Fasiliti Pemasangan Kerusi Kereta Baharu EPMB di Kawasan Perindustrian Proton pada Isnin.
Saarani (tengah) mendengar taklimat ketika membuat lawatan selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Fasiliti Pemasangan Kerusi Kereta Baharu EPMB di Kawasan Perindustrian Proton pada Isnin.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerajaan Perak memerlukan pelan induk daripada pihak Proton bagi menyediakan kemudahan untuk menyokong pembangunan di Proton City di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, satu jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim telah dibentuk bagi merangka pembangunan di kawasan tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa itu turut dianggotai beberapa agensi lain termasuklah Lembaga Air Perak, Jabatan Kerja Raya, Tenaga Nasional Berhad dan pihak berkuasa tempatan.

"Pertama kita perlu melihatkan pelan pembangunan sebenar oleh Proton. Mereka kena beritahu pada kita apa sebenarnya yang mereka nak buat kepada kita dan di peringkat kerajaan negeri ini hanya nak facilitate dan memenuhi supaya sesuai dengan kehendak mereka.

"Jadi setakat ini Datuk SS (Setiausaha Kerajaan Negeri) sudah pun mengadakan mesyuarat dan kita sedang tunggu master plan daripada Proton sebab semua agensi pelaksana ini sokongannya sudah bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Fasiliti Pemasangan Kerusi Kereta Baharu EPMB di Kawasan Perindustrian Proton pada Isnin.

Dalam pada itu, Saarani berkata, pelan induk tersebut perlu diberikan segera sebelum November tahun ini bagi membolehkan segala perancangan dilaksanakan segera menjelang tahun 2027.

Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu menyediakan perancangan jangka panjang dalam aspek penyediaan kawasan tambahan jika diperlukan memandangkan tanah kerajaan terhad di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau menyifatkan kejayaan membangunkan Fasiliti Pemasangan Kerusi Kereta Baharu itu sebagai satu lagi manifestasi kerjasama strategik yang menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi khususnya di kawasan Tanjung Malim.

"Pembangunan fasiliti baharu oleh EPMB ini akan menjadi nilai tambah kepada usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri dalam merealisasikan perancangan membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di daerah ini.

"Dari perspektif yang lain pula, pembangunan AHTV Tanjung Malim di Selatan Perak ini adalah antara contoh yang paling ideal bagi menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri membawa lebih banyak pelaburan masuk ke Perak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!