Lelaki dipercayai jual rokok seludup ditahan
TUMPAT - Sejumlah wang tunai RM20,400 yang disyaki hasil kegiatan jual beli rokok seludup ditemui dalam satu bungkusan plastik di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di Chabang Empat Tok Mek Ngah dekat sini pada Ahad.
Lelaki yang memandu kenderaan terbabit berusia 43 tahun turut ditahan dalam serbuan pada jam 1.30 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Ibrahim Husin berkata, sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am mengekori sebuah kenderaan Proton Wira Aeroback berwarna hitam dan sebuah Mitsubishi Triton berwarna putih dalam keadaan mencurigakan dari arah Pengkalan Kubor ke Chabang Empat Tok Mek Ngah.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan terbabit bertindak berhenti di bahu jalan di Chabang Empat Tumpat dan anggota segera bertindak menghampiri kenderaan-kenderaan tersebut.
“Menyedari kehadiran pasukan serbuan, pemandu Proton Wira keluar dari kereta dan melarikan diri ke arah kawasan bangunan serta gagal dikesan manakala pemandu Mitsubishi Triton berjaya ditahan polis.
“Hasil pemeriksaan di dalam Proton Wira itu mendapati 10 kotak rokok seludup yang berada di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan di dalam but kereta,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas Mitsubishi Triton terbabit menemui bungkusan plastik berwarna biru berisi wang tersebut.
Katanya, suspek dan barang kes dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu, Tumpat untuk siasatan lanjut.
“Bungkusan mengandungi wang tunai itu ditemui dalam tempat simpanan barang bahagian penumpang hadapan yang dipercayai hasil kegiatan jual beli rokok seludup termasuk suspek.
“Nilai keseluruhan rampasan rokok, kenderaan dan wang tunai itu berjumlah kira-kira RM150,000,” ujarnya.
Polis meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan membuat permohonan reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Tumpat pada Ahad diluluskan selama lapan hari sehingga 6 November ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!