Israel 'balas dendam' serang Syria, Lubnan

Pejuang Hizbullah Lubnan berdiri atas trak dilengkapi pelancar roket di perkampungan Aaramta. - Foto: AFP
Pejuang Hizbullah Lubnan berdiri atas trak dilengkapi pelancar roket di perkampungan Aaramta. - Foto: AFP
A
A
A

RAMALLAH - Israel melancarkan serangan terhadap infrastruktur ketenteraan di Syria dan Lubnan, kata tenteranya di tengah-tengah kebimbangan serangan terhadap Hamas boleh bertukar menjadi konflik lebih luas di seluruh Timur Tengah, lapor Al-Jazeera.

Katanya, jet pejuang mensasarkan pelancar roket di Syria dan sasaran di Hizbullah sebagai tindak balas kepada pelancaran roket semasa awal serangan ke wilayah Israel.

Kementerian Pertahanan Syria berkata, serangan udara mensasarkan pos tentera di bandar Daraa yang dilakukan rejim zionis telah mengkibatkan beberapa kerosakan teruk.

Tambahnya, Israel melancarkan serangan pada jam 1.35 pagi (waktu tempatan) dari Golan yang dijajah dan mensasarkan dua pos di luar bandar Daraa.

Tentera Israel terlibat dalam pertempuran rentas sempadan dengan kumpulan bersenjata Hizbullah Lubnan dan telah melancarkan serangan udara berulang kali ke Syria sejak konflik bermula 7 Oktober lalu.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan serangan ke Syria sebagai tindak balas mendadak serangan roket dan dron ke atas tenteranya di Iraq dan Iran.

Pentagon berkata, mereka melakukan serangan ke atas dua kemudahan di Syria yang digunakan Kor Pengawal Revolusi Islam dan kumpulan disokong Iran selepas Presiden AS, Joe Biden berikrar bertindak balas dalam serangan terhadap kakitangannya. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!