Aina Abdul pukau penonton di Seoul
PENYANYI Aina Abdul terus melakar sejarah tersendiri.
Kali ini penyanyi yang mula hits menerusi lagu Sumpah itu telah memukau 2,000 penonton di pentas global ABU TV Song Festival 2023 anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU).
Penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 pada kali ini dihoskan oleh stesen televisyen nasional Korean Broadcasting System (KBS) yang telah berlangsung di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan pada Ahad.
Selain Aina, ia turut menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara terdiri daripada Tia Ray (China), Chau Kat Pui (Hong Kong), Malini Awasthi (India), Ayaka Hirahara (Jepun), Mamamoo (Korea Selatan), Winifai (Macau), Sheron Silva (Sri Lanka), Annamyradow Begmyrat (Turkmenistan), Umut Sülünoğlu & Uğur Önür (Türkiye) dan Erik Lê Trung Thành (Vietnam).
Bagaimanapun Aina tetap berjaya memukau hampir 2,000 penonton di dalam dewan menerusi lagu hit ciptaannya Terus Hidup.
Mengulas lanjut mengenai persembahannya di pentas gah ABU TV Song Festival 2023, Aina berkata, diberi peluang keemasan mewakili Malaysia untuk beraksi di pentas antarabangsa merupakan satu penghormatan yang cukup istimewa buatnya.
"Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan boleh disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.
"Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia. Manakala KBS pula merupakan antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis-artis ternama K-Pop.
"Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan tersebut.
"Walaupun hanya menyanyikan sebuah lagu sahaja, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia tercinta di pesada dunia," ujarnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Aina baru sahaja melancarkan album sulung berjudul Imaji secara digital yang dilihat sebagai pelengkap kerjaya muziknya.
Selain itu, Aina juga bakal mengadakan konsert solo berskala besar‘A Night With Aina Abdul 3.0 anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Aina Abdul Entertainment (AAE) di Axiata Arena Bukit Jalil pada 18 November kelak.
Sebanyak 33 buah lagu hits bakal dipersembahkan termasuk medley bertemakan gabungan genre moden serta irama klasik yang akan diiringi oleh barisan pemuzik profesional orkestra dan band di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor iaitu Mac Chew.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!