Ciuman mahal Rubiales

Rubiales digantung tiga tahun daripada aktiviti bola sepak.
Rubiales digantung tiga tahun daripada aktiviti bola sepak.
A
A
A

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales telah dikenakan hukuman penggantungan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama tiga tahun.

Rubiales mencetuskan kontroversi apabila mencium bibir pemain bola sepak wanita, Jenni Hermoso tanpa kerelaan selepas kemenangan Sepanyol ke atas England pada final Piala Dunia Wanita di Sydney, Ogos lalu.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang sebelum ini menggantung Rubiales selama 90 hari, kini membuat keputusan untuk menggantungnya selama tiga tahun.

"Jawatankuasa Disiplin FIFA menggantung bekas Presiden Persatuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa untuk tiga tahun," kata badan induk dalam satu kenyataan pada Isnin.

Insiden itu membayangi kejayaan Sepanyol menjulang Piala Dunia yang mana Rubiales mencium Hermoso ketika memberikan pingat.

Hermoso menegaskan, insiden itu berlaku tanpa kerelaannya, namun Rubiales menafikan perkara tersebut dan enggan meletakkan jawatannya.

Susulan itu, barisan pemain Sepanyol menandatangani kenyataan bahawa mereka enggan beraksi untuk pasukan kebangsaan sehingga Rubiales melepaskan jawatannya.

Pada 10 September, Rubiales meletakkan jawatannya sebagai Presiden RFEF dan juga Naib Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dengan dia digantung susulan siasatan daripada FIFA.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!