MyEG dan subsidiari dapat kontrak lanjutan tiga tahun JPJ
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melanjutkan kontrak perkhidmatan MY EG Services Bhd (MyEG) dan subsidiari milik penuhnya, MY EG Sdn Bhd (MYEGSB), selama tiga tahun lagi.
Kontrak lanjutan itu akan bermula 23 Mei tahun ini sehingga 22 Mei 2026.
MyEG berkata, kedua-dua syarikat itu masing-masing menerima surat pelantikan daripada JPJ hari ini untuk mengesahkan kedua-duanya adalah "ejen pemungut bagi penyediaan perkhidmatan pendaftaran kenderaan, pelesenan pemandu dan kenderaan serta pembayaran elektronik perkhidmatan saman untuk tempoh tiga tahun.”
"Anggaran nilai lanjutan itu akan bergantung pada bilangan transaksi yang dilakukan sepanjang tempoh tersebut. Perjanjian untuk merasmikan lanjutan itu akan ditandatangani dan diumumkan oleh syarikat pada masa akan datang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
MyEG berkata, pelanjutan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan 2023 dan seterusnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!