Dr Zul, jam Rolex dan Palestin

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

MERAK Jalanan kagum dengan tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melelong jam tangan Rolex pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Lelongan itu bermula pada harga RM40,000 dan sehingga penulisan Merak Jalanan ini, dikhabarkan jumlah itu melebihi RM100,000.

Seingat Merak Jalanan, Dr Zul hanya mengetahui kandungan hadiah pemberian Raja Salman pada Februari 2017 itu sehinggalah ia dibuka pada tahun 2021 iaitu selepas beliau meletak jawatan sebagai menteri.

Sudah tentu jam berkenaan mempunyai nilai sentimental yang tinggi kepada Dr Zul.

Bagaimanapun, terkesan dengan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin yang setiap hari menanggung derita akibat bedilan bom dan peluru rejim Zionis, Dr Zul telah menunjukkan satu sikap yang amat terpuji dan mulia.

Bukan setakat Merak Jalanan, netizen pada ruangan komen Facebook Dr Zul turut mengagumi usaha yang beliau lakukan demi rakyat Palestin.

Malah ada yang memberi saranan supaya kenamaan lain turut mengambil tindakan sama dalam usaha membantu penduduk di Gaza.

Selain menyalurkan derma kepada pertubuhan bukan kerajaan, menyertai perhimpunan aman dan melakukan boikot terhadap produk Israel antara langkah perjuangan rakyat Malaysia membantah kekejaman Israel. Sehingga ke hari ini, usaha itu tetap berterusan.

Artikel Berkaitan:

Apa yang Merak Jalanan harapkan, kita perlu teruskan menyokong perjuangan Palestin dan tidak menjadikan solidariti ini sebagai bermusim.

Ini kerana setiap masa penduduk di negara itu amat memerlukan bantuan dan perhatian dunia tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Semoga apa yang berlaku ketika ini dapat menyatukan hati kita semua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!