Lelaki pukul, cedera pemandu lori sampah miliki 4 rekod jenayah lampau

Agus Salim. Laporan Sinar Harian.
Agus Salim. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Lelaki yang tular selepas memukul dan mencederakan seorang pemandu lori sampah di Jalan 6, Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar di sini mempunyai empat rekod jenayah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, suspek berusia lewat 50-an itu terlibat dalam kes ugutan jenayah dan mencederakan orang.

Menurut beliau, suspek ditahan polis kira-kira jam 2 pagi di sebuah rumah di Pandan Perdana, Kuala Lumpur.

"Hasil maklumat diperoleh, kita berjaya menahan lelaki terbabit dan turut merampas kayu digunakan semasa kejadian, pengunci stereng serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Agus Salim berkata, saringan ujian awal air kencing turut dijalankan terhadap suspek, namun didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

Ujar beliau, melalui siasatan terperinci suspek positif terlibat dalam kejadian itu dan telah direman selama tiga hari bermula Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis giat mengesan seorang suspek lelaki yang tular di Facebook selepas memukul dan mencederakan seorang pemandu lori sampah di tempat kejadian pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku selepas polis menerima aduan daripada pemandu lori berusia 37 tahun.

Artikel Berkaitan:

Mangsa mendakwa mengalami kecederaan pada tangan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!