Discover PKNS 2023 dapat sambutan hangat

Peluang kenali produk, eratkan hubungan pelanggan

A
A
A

Mahmud (dua dari kiri), Borhan (dua dari kanan) merasmikan pelancaran Program PKNS Home Buyer sempena karnival Discover PKNS Mega Finale 2023 di perkarangan Stadium Shah Alam pada Sabtu.
Mahmud (dua dari kiri), Borhan (dua dari kanan) merasmikan pelancaran Program PKNS Home Buyer sempena karnival Discover PKNS Mega Finale 2023 di perkarangan Stadium Shah Alam pada Sabtu.

SHAH ALAM - Siri karnival Discover PKNS 2023 berjaya menarik minat orang ramai terhadap produk hartanah yang ditawarkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Karnival tersebut sebelum ini telah berlangsung di beberapa lokasi perbandaran PKNS di Kota Puteri, Antara Gapi, Bangi, Kompleks PKNS Shah Alam manakala finale diadakan di Tapak Karnival di Stadium Shah Alam selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Program tersebut merupakan inisiatif PKNS bagi mengeratkan lagi hubungan syarikat itu dengan para pelanggan khususnya rakyat Selangor selain mengenali lebih dekat projek perumahan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PKNS.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, selain mempromosikan produk PKNS, karnival itu turut melibatkan orang ramai atau public engagement menerusi pelbagai aktiviti komuniti di kawasan perbandaran.

MAHMUD
MAHMUD

“Sasaran kita (PKNS) bukan sekadar membuat jualan hartanah rumah sahaja. Sebaliknya, kita mahu menarik para pelanggan berpotensi untuk tujuan pangkalan data.

Artikel Berkaitan:

“Menerusi pangkalan data ini, ia boleh dimanfaatkan untuk projek hartanah PKNS akan datang mengikut kesesuaian pendapatan serta keperluan para pelanggan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tapak karnival Discover PKNS Mega Finale 2023 di Stadium Shah Alam pada Sabtu.

Pelancaran karnival Discover PKNS Mega Finale 2023 itu disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah yang merasmikan pelancaran Program Home Buyer dalam majlis yang sama.

Tambah Mahmud, melihat daripada sambutan yang menggalakkan, pihaknya berhasrat untuk menjadikan karnival Discover PKNS 2023 sebagai acara tahunan di bawah Pelan Pemasaran PKNS.

Mahmud (dua dari kiri) memberikan penerangan kepada Borhan (kiri) mengenai projek perumahan yang sedang dilaksanakan PKNS.
Mahmud (dua dari kiri) memberikan penerangan kepada Borhan (kiri) mengenai projek perumahan yang sedang dilaksanakan PKNS.

Antara aktiviti karnival Discover PKNS Mega Finale 2023 yang diadakan sepanjang tiga hari itu ialah pertandingan street soccer, pertandingan kumpulan muzik dan aktiviti kanak-kanak.

Turut diadakan ekspo kerjaya, pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan percuma serta reruai hartanah PKNS, urusan pindah milik geran rumah dan Hari Bersama Pelanggan PKNS membabitkan 130 gerai jualan dan pempamer.

Selain itu, karnival itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran kumpulan XPDC, Afee Utopia, Khalifah, Tam Spider, Mamat Exist dan Datuk Jamal Abdillah.

Program Home Buyer

Sebahagian pengunjung yang hadir sempena karnival Discover PKNS Mega Finale 2023 pada Sabtu.
Sebahagian pengunjung yang hadir sempena karnival Discover PKNS Mega Finale 2023 pada Sabtu.



Pembeli rumah PKNS berpeluang menikmati diskaun sehingga 46 peratus bagi perkakasan rumah jenama Samsung menerusi Program Home Buyer yang diaktifkan pada Oktober.

Secara dasarnya, Program Home Buyer merupakan inisiatif tanda penghargaan kepada pembeli yang menyokong projek pembangunan PKNS. Mereka bukan sahaja bakal memiliki rumah tetapi turut berpeluang menggunakan produk Samsung yang terbukti mempunyai kualiti terbaik.

"Pindah masuk ke kediaman baharu sememangnya menggunakan wang yang banyak. Dengan adanya tawaran eksklusif ini, secara tidak langsung dapat memberikan nilai tambah buat pembeli produk PKNS," jelas Mahmud.

Manfaat

Sementara itu, pengunjung yang hadir dalam karnival itu ketika ditemui mengakui acara itu memberikan banyak pendedahan mengenai ilmu hartanah serta projek perumahan di bawah PKNS.

MOHD ARIF
MOHD ARIF

Bagi seorang pekerja kilang, Mohd Arif Mohd Azil, 31, dia mengharapkan PKNS dapat memperbanyakkan lagi penyediaan rumah mampu milik di Selangor bagi memenuhi permintaan golongan kurang berkemampuan khususnya bagi golongan B40.

"Bagus jika Selangor memperbanyak rumah mampu milik kerana negeri ini banyak kawasan industri pastinya ramai dalam kalangan pekerja sektor ini mencari rumah mengikut kemampuan pendapatan mereka.

MUHAMMAD ARIFF
MUHAMMAD ARIFF

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Ariff Adlan, 31, berkata, walaupun telah memiliki rumah namun dia ke karnival tersebut bagi melihat projek terkini PKNS.

“Sambil jalan-jalan, kita boleh lihat projek terkini PKNS. Jika ada tawaran menarik boleh disampaikan kepada kenalan yang berminat untuk miliki rumah.

"Pada masa sama, saya harap PKNS dapat terus membina banyak rumah harga berpatutan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Selangor memiliki sekurang-kurangnya satu rumah, " ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!