Pertandingan rekacipta Waste is Amazing 2023 penuh unik

Inisiatif sedekad AFSB pupuk kesedaran alam sekitar menerusi fesyen

A
A
A

Para pemenang bergambar bersama sambil menunjukkan hadiah yang diterima masing-masing sempena acara ‘Wonder of Waste is Amazing Fashion Show 2023’ di UiTM Shah Alam pada Sabtu.
Para pemenang bergambar bersama sambil menunjukkan hadiah yang diterima masing-masing sempena acara ‘Wonder of Waste is Amazing Fashion Show 2023’ di UiTM Shah Alam pada Sabtu.

SHAH ALAM - Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) sentiasa komited menyemarakkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat dengan meneruskan acara ‘Wonders of Waste is Amazing Fashion Show’ yang telah masuk tahun kesepuluh penganjurannya.

Diadakan di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (Gesturz), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada Sabtu, pertunjukan tersebut bukan sahaja menyerlahkan bakat-bakat anak muda tempatan, tetapi turut mempromosikan kelestarian dan kesedaran terhadap alam sekitar di negara ini.

Bertemakan ‘Met Gala: Rekaan Hollywood Romantik dan Glamor’ pada tahun ini, pertunjukan itu telah di rintis oleh AFSB sejak sedekad lalu sejajar dengan matlamat syarikat itu menggalakkan amalan Reduce, Reuse and Recycle (3R) dengan lebih meluas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AFSB, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi pengurusan sisa dalam perkhidmatan operasi termasuk penggunaan bahan yang mampan, pengurangan pelepasan karbon dioksida dan beberapa inisiatif pencegahan.

“Kelestarian di AFSB bukan sekadar plastik kitar semula. Ketika ini, kadar kitar semula Malaysia berada pada 33.1 peratus dan kami berusaha untuk capai 40 peratus menjelang 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bakat, kreativiti belia

Artikel Berkaitan:

Busana anggun Mother of Earth rekaan seorang peserta, Siti Nur Amalina Ahmad (kiri) turut menarik perhatian hadirin.
Busana anggun Mother of Earth rekaan seorang peserta, Siti Nur Amalina Ahmad (kiri) turut menarik perhatian hadirin.



Keunikan acara Waste is Amazing 2023 memperlihatkan usaha AFSB mengetengahkan bakat dan kreativiti belia menerusi kerjasama dengan UiTM Shah Alam sekali gus memupuk kesedaran seta peranan mereka dalam usaha kitar semula serta masa depan mampan.

Malah, dalam peringkat akhir acara itu, seramai 10 peserta telah menunjukkan hasil rekaan fesyen masing-masing dengan menggunakan bahan bukan konvensional seperti pakaian terpakai, surat khabar, beg plastik, penutup botol plastik dan penutup tin aluminium.

Acara Waste is Amazing 2023 menyaksikan Mohamad Hilmi Idris muncul sebagai pemenang utama dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi, mahkota dan selempang.

Mohamad Hilmi (tengah) bersama para peserta dan para juri sempena pertandingan ‘Wonder of Waste is Amazing Fashion Show 2023’
Mohamad Hilmi (tengah) bersama para peserta dan para juri sempena pertandingan ‘Wonder of Waste is Amazing Fashion Show 2023’

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Attiya Balqist Asha’ari yang membawa pulang RM2,000 manakala tempat ketiga diraih oleh Siti Nabilah Mohd Roslide yang menerima RM1,000. Masing-masing turut menerima trofi, jambangan bunga berserta sijil.

Pada masa sama, anugerah Model Terbaik turut dimenangi model Attiya Balqist Asha’ari manakala kategori baharu yang diperkenalkan pada kali ini iaitu Kandungan Media Sosial Terbaik di memenangi oleh Zainab Majid. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM300.

Majlis penyampaian hadiah itu disaksikan Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Shah Alam, Profesor Dr Shahanum Md Shah; Ketua Penjenamaan dan Komunikasi Korporat AFSB, Azman Shawal serta Pensyarah Kanan UITM Shah Alam, Mohd Faizal Abd Hamid bersama Datuk Wahdaniah Abd Wahab selaku juri pertandingan.

Tidak sangka busana The Reflection of Harry Styles bawa tuah - Mohamad Hilmi

Mohamad Hilmi (kiri) memperlihatkan busana rekaannya yang berjaya memenangi hadiah utama acara ‘Waste is Amazing Fashion Show 2023’
Mohamad Hilmi (kiri) memperlihatkan busana rekaannya yang berjaya memenangi hadiah utama acara ‘Waste is Amazing Fashion Show 2023’



SHAH ALAM - Tuah menyebelahi seorang anak muda jurusan Rekabentuk Fesyen dari UiTM Shah Alam apabila dinobatkan sebagai pemenang utama dalam Waste is Amazing Fashion Show 2023 anjuran Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) yang diadakan pada Sabtu.

Bagi pereka muda, Mohamad Hilmi Idris, 26, berkata, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan itu dengan busana The Reflection of Harry Styles yang juga merupakan peragaan sulungnya.

Meskipun penyertaannya itu sekadar untuk mencari pengalaman, Mohammad Hilmi berjaya meraih hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta mahkota, trofi, selempang serta sijil penyertaan.

“Busana itu saya ambil masa tiga minggu untuk siapkan dengan menggunakan 10 kilogram kain daripada seluar denim lusuh dan seliut terpakai.

“Saya kumpulkan dan beri nafas baharu kepada 10kg kain ini daripada terbuang di tapak pelupusan sampah,” katanya kepada Sinar Harian selain menyatakan kos keseluruhan busana itu hanya RM50.

Ditanya mengenai kelainan yang dibawa menerusi karyanya, alumni UiTM Shah Alam itu menganggap bahawa kitar semula tidak hanya berkenaan plastik atau botol semata-mata, namun fabrik juga tergolong dalam kategori bahan bukan konvensional.

Tambahnya, fabrik menjadi pilihan kerana ingin menepati konsep atau tema acara pertandingan iaitu ‘Met Gala: Rekaan Hollywood Romantik dan Glamor’ dengan menginspirasi penyanyi dari Amerika Syarikat (AS), Harry Styles.

“Mungkin kemenangan ini boleh menjadi platform untuk saya sertai lebih banyak pertandingan fesyen pada masa hadapan dan membina jaringan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!