HRD Corp bangunkan modal insan
PERBADANAN Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mengumumkan perkongsian strategik dengan beberapa organisasi terkemuka menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bersama pemain industri tempatan dan antarabangsa.
Menerusi Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) pada Isnin, agensi berkenaan memeterai MoU bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang memberi tumpuan kepada usaha serta kerjasama mempromosikan akses penyertaan dalam pembelajaran sepanjang hayat bagi kumpulan rentan.
Selain itu, perkongsian tersebut turut memberi perhatian terhadap peningkatan kualiti dan relevansi latihan yang disediakan oleh majikan.
Perkongsian bersama Dana Pembangunan Kemahiran (SDF) Kemboja pula melibatkan usahasama penjenamaan yang akan menjadikan kedua-dua entiti sebagai rakan strategik jangka panjang dalam mempromosikan pembangunan kemahiran lebih responsif.
Kerjasama itu juga dilihat mampu meningkatkan kemahiran dan daya saing tenaga kerja masing-masing.
HRD Corp turut memeterai MoU dengan Bank Dunia mengenai perkongsian pengetahuan amalan terbaik berkaitan latihan, pembangunan kemahiran dan pengumpulan modal insan di Malaysia.
Menerusi perjanjian perkhidmatan dengan Universiti Johns Hopkins (JHU) pula, ia akan membawa lebih banyak latihan berkualiti tinggi ke Malaysia melalui program-program unggul di samping Harvard Business Publishing, Udemy, CoachHub, The Global Compact Network Malaysia & Brunei Trust (UNGCMYB) dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).
Turut terlibat ialah Pusat Keunggulan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Institut Piawaian Sumber Manusia (HRSI), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Universiti Cyberjaya (UoC) dan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU).
Sementara itu ketika berucap pada majlis pelancaran NHCCE 2023, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, acara terkemuka itu menjadi contoh terbaik kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam meningkatkan kualiti pembangunan sumber manusia tempatan.
“Dengan perkongsian serupa yang terus berkembang, saya berharap ia akan memberi manfaat kepada lebih ramai pekerja dan negara.
“Saya memuji HRD Corp kerana terus berusaha untuk memudahkan kerjasama antara pelbagai perniagaan dan organisasi. Apabila perkongsian terus berkembang, saya berharap ia akan memberi manfaat kepada lebih ramai majikan, pekerja dan negara,” ujarnya.
NHCCE 2023 bertemakan ‘Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan’ menjadi platform membantu organisasi dan pengamal sumber manusia berada di hadapan tuntutan yang sentiasa berubah dalam tempat kerja moden.
Acara tersebut menampilkan 30 penceramah terkemuka dalam bidang masingmasing antaranya Ghanim Al-Muftah iaitu usahawan penstriman dalam talian dan filantropis dengan sindrom regresi kaudal; Dave Ulrich, yang diangkat sebagai bapa sumber manusia moden dan Eric Termuende, pemikir terkemuka yang diiktiraf secara global.
NHCCE turut menampilkan Ketua Pegawai Kumpulan Modal Insan Maybank, Datuk Nora Manaf; Ketua Bahagian Asia Penyelesaian Bakat & Pembelajaran LinkedIn, Luanna Sieh dan Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan CIMB, Frank Koo.
Kerjasama awam, swasta penting
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan untuk terus melabur dalam bakat dan tenaga kerja tempatan bagi meneruskan momentum pertumbuhan serta pemulihan negara.
Seri Paduka Baginda bertitah, tenaga kerja dan pembangunan bakat Malaysia amat digalakkan untuk menjadi pembelajaran sepanjang hayat selain pembangunan peribadi berterusan dalam memastikan Malaysia terus kekal berdaya saing di masa hadapan.
“Selepas dua tahun yang mencabar, Malaysia akhirnya menikmati tempoh kestabilan ekonomi, disokong oleh kadar penyertaan buruh yang semakin meningkat iaitu pada 70.1 peratus setakat Julai tahun ini.
“Untuk meneruskan momentum pertumbuhan dan pemulihan tersebut, negara perlu terus melabur dalam bakat dan tenaga kerja tempatan,” titah Seri Paduka Baginda pada pelancaran NHCCE 2023.
Al-Sultan Abdullah bertitah, usaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan HRD Corp penting dalam membantu negara mencapai matlamatnya untuk meneruskan momentum pertumbuhan serta pemulihan.
“Usaha itu perlu mewujudkan dasar yang betul bagi memastikan penyampaian mekanisme lebih tersusun,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut memuji usaha KSM yang memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran, penempatan, pekerjaan dan peluang menjana pendapatan kepada golongan memerlukan termasuk ibu tunggal, bekas banduan, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Ini adalah usaha yang baik untuk memastikan tiada pihak yang tertinggal dan boleh berkembang bersama sebagai sebuah negara.
“Menerusi inisatif KSM serta usaha kolektif pemain industri, beta yakin Malaysia boleh mencapai matlamat mempunyai 35 pratus tenaga kerja mahir menjelang 2030,” titah Al-Sultan Abdullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!