Pahang peruntuk RM7.8 juta hadapi Monsun Timur Laut
KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM7.8 juta bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijadualkan bermula November ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, segala persediaan telah mula dijalankan termasuk penghantaran barangan keperluan ke 159 pangkalan hadapan di negeri ini.
Menurutnya, sebanyak 856 pusat pemindahan sementara (PPS) telah disediakan melibatkan premis seperti balai raya, sekolah, masjid dan surau bagi kemudahan kepada mangsa banjir.
“Untuk persiapan MTL, insya-ALLAH kita tidak perlu bimbang melainkan terjadi perkara-perkara di luar jangkaan bagaimanapun seperti kebiasaannya kerajaan negeri akan sentiasa menanganinya.
“Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas peruntukan besar untuk menghadapi MTL kali ini," katanya seperti yang dilaporkan Pahang Media pada Selasa.
Sabariah sebelum itu hadir pada Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali Yayasan Petronas di Hotel Grand Darul Makmur di sini pada malam Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!