Guru rugi RM236,300 diperdaya scammer
IPOH - Seorang guru wanita di sebuah sekolah di daerah Muallim kerugian sebanyak RM236,300 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon sejak dua bulan lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa mula diperdaya apabila menerima panggilan pertama daripada suspek pada 30 Ogos lalu berkaitan penghantaran bungkusan mengandungi barang-barang salah.
Menurutnya, selepas itu mangsa yang berusia 52 tahun dihubungi suspek kedua kononnya dia terlibat dalam kes penipuan kad bank dan menerima komisen sehingga RM28,000.
"Pada 1 September 2023 lebih kurang jam 11 pagi, mangsa terima satu lagi panggilan daripada suspek ketiga bertanyakan jumlah akaun simpanan dimiliki mangsa sebelum meminta wang di dalam akaun Tabung Haji dan ASB (Amanah Saham Berhad (ASB) dipindahkan ke satu akaun bank yang lain dengan alasan untuk memudahkan siasatan pihak polis.
"Mangsa juga pada 10 September diminta oleh suspek untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM150,000 dan kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik mangsa.
"Suspek juga meminta wang sebanyak RM10,000 dipindahkan ke dalam satu akaun bank lain kononnya untuk bantuan guaman bagi kes yang sedang dihadapi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Yusri berkata, mangsa hanya menyedari kesemua wang berjumlah RM236,300 hilang dalam simpanan selepas membuat semakan di Bank Islam Cawangan Tanjung Malim pada Isnin
Menurutnya, setelah menyedari ditipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dam kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali bagi mengelak diperdaya sindiket penipuan menerusi telefon tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!