'Umpama kisah dongeng jadi kenyataan' - Bonmati
PEMENANG Ballon d'Or Wanita, Aitana Bonmati menyifatkan anugerah itu sebagai pencapaian yang amat mengagumkan sepanjang kariernya bergelar pemain bola sepak bersama Sepanyol.
Beliau berkata, musim 2023 adalah tahun terbaik apabila menggapai pelbagai kejayaan dalam tempoh semusim yang dianggap amat luar biasa.
Pemain berusia 25 tahun itu memenangi gelaran Piala Dunia Wanita, menjuarai Liga Juara-Juara dan mengungguli anugerah Pemain Terbaik UEFA
“Sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Ia satu perjalanan karier saya yang cukup mengagumkan sepanjang tahun lalu dan tahun ini.
“Ketika kecil saya tidak pernah mengimpikan suatu hari nanti akan bermain di Nou Camp, menjuarai Piala Dunia, memenangi ACL, Ballon d'Or dan anugerah pemain wanita terbaik Eropah. Ia umpama kisah dongeng yang jadi kenyataan,” katanya.
Tonggak tengah Barcelona itu mengatasi pemain wanita Australia, Sam Kerr dan rakan senegaranya dari Sepanyol, Salma Paralluelo yang berpuas hati di tempat kedua dan ketiga Ballon d'Or kali ini.
Piala Dunia Wanita yang diadakan di Australia dan New Zealand Ogos lalu, menyaksikan Sepanyol gah muncul juara selepas membenam England 1-0 di pentas akhir.
Bonmati bukan saja membantu negaranya menjuarai Piala Dunia, malah dia turut dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam kejohanan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!