PLKN dilaksana dua fasa libat pelajar Tingkatan 4, lepasan SPM

Mohamad
Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 menerusi dua fasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Fasa 1 melibatkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM), yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.

Menurutnya, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.

“PLKN Fasa 1 membabitkan penglibatan di fasa sekolah, manakala PLKN Fasa 2 pula selepas fasa sekolah, iaitu selepas peperiksaan SPM.

"Selepas pembabitan belia dalam PLKN ini, mereka akan disambut oleh agensi lain sebagai kesinambungan kelahiran mereka daripada program ini," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web rasmi Parlimen pada Isnin.

Mohamad berkata, tempoh pelaksanaan PLKN Fasa 2 bagaimanapun tidak mengambil masa lama seperti sebelum ini iaitu 45 hari.

"Sebanyak 90 peratus daripada kandungan latihan Fasa 2 ini berkaitan ketenteraan agar dapat membina jati diri belia yang kuat dan bertenaga.

"Baki 10 peratus daripada kandungan lagi adalah berkaitan tatanegara. Selepas itu, agensi-agensi seperti bomba, polis dan Pertahanan Awam dapat melihat produk modal insan ini sebagai penyediaan kepada guna tenaga belia yang terlatih," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kerajaan akan memanfaatkan 13 kem tentera wataniah di seluruh negara untuk pelaksanaan PLKN tersebut termasuk sebuah kem Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

“Tenaga pelatih akan terdiri daripada anggota tentera sendiri yang dapat menjimatkan kos keseluruhan. Sebelum ini, kos asal adalah sekitar RM500 juta setahun.

"Manakala kos baharu berdasarkan kertas kerja jawatankuasa adalah tidak melebihi RM100 juta setahun, iaitu sebuah langkah penjimatan yang sangat baik.

“Hasil daripada program PLKN ini, ia akan dapat melahirkan belia yang berkualiti, berdisiplin, cintakan negara dan tersedia untuk memikul tanggungjawab dalam masyarakat,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!