MTUC dakwa 900 pekerja MYAirline 'digantung tidak bertali'
SEPANG - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa tindakan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengeluarkan notis pemberhentian sementara operasi secara tiba-tiba sebagai tidak profesional.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, tindakan itu menyebabkan lebih 900 pekerja ibarat 'digantung tidak bertali' apabila diarahkan bekerja dari rumah tetapi pada masa yang sama pihak syarikat gagal membayar tunggakan gaji.
Menurutnya, pekerja juga masih tidak tahu apa status sebenar mereka di syarikat tersebut kerana sudah tidak dibayar gaji selama dua bulan iaitu sejak September lalu.
"Mereka hanya menerima emel daripada pihak syarikat menyatakan penggantungan sementara operasi syarikat jam 5 pagi pada 12 Oktober lalu dan diarahkan tidak perlu datang kerja.
"Pekerja diminta kerja dari rumah tetapi gaji tidak dibayar, ia menyebabkan pekerja berasa pelik serta sangsi dengan status masing-masing," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui membuat laporan polis bersama pekerja MYAirline di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dekat sini.
Kamarul Baharin berkata, berdasarkan laporan polis dibuat, pihak syarikat juga didakwa gagal membuat caruman kepada pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak beberapa bulan.
Kata beliau, potongan gaji pekerja telah dibuat oleh pihak syarikat bagi tujuan caruman di dua agensi terlibat, namun ia dipercayai gagal dilaksanakan sebaiknya.
"Tindakan tersebut merupakan satu kezaliman kepada pekerja dan kerajaan perlu menyiasat secara teliti perkara tersebut kerana ia merupakan hak pekerja," katanya.
Tambah beliau, pihak Kementerian Sumber Manusia perlu bertindak agresif dan konsisten untuk tindakan penguatkuasaan sewajarnya.
"MTUC mahu memastikan pekerja mendapat hak mereka iaitu gaji tertangguh selama dua bulan dan mengetahui status mereka dengan jelas.
"Sekiranya masih bekerja, gaji harus dibayar dan jika mereka tidak lagi bekerja, berikan surat penamatan tugas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!