Subsidi ayam: Situasi menang-menang untungkan peniaga, pengguna

Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan penarikan subsidi ayam dan banyak pihak yang memberi reaksi berhubung perkara itu. - Gambar hiasan
Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan penarikan subsidi ayam dan banyak pihak yang memberi reaksi berhubung perkara itu. - Gambar hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini, kerajaan telah mengumumkan penarikan subsidi ayam dan banyak pihak yang memberi reaksi berhubung perkara itu.

Ada yang khuatir dan bimbang dengan situasi tersebut tetapi jika dilihat itu adalah keputusan bijak kerana matlamat utamanya untuk menangani isu ketirisan subsidi yang kini turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Saya percaya sebelum kerajaan membuat keputusan ini, pelbagai faktor penting sudah diambil kira dalam memastikan kesemua pihak yang terlibat tidak terbeban.

Untuk rekod, sejak Februari 2022, kerajaan telah menanggung sebanyak RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam.

Jika pemberian subsidi ayam ini diteruskan, penternak memperoleh subsidi berdasarkan pengeluaran tetapi kerajaan perlu menanggung peruntukan subsidi yang besar.

Tetapi pengguna sebenarnya tidak mendapat kesan secara langsung kerana subsidi ayam diberikan secara terus oleh kerajaan kepada penternak.

Dengan penarikan subsidi ini, kerajaan dapat berjimat sebanyak RM100 juta sebulan dan peruntukan ini dapat digunakan untuk pelbagai inisiatif sosio-ekonomi termasuk pemberian bantuan tunai.

Secara logiknya, harga ayam akan ditentukan oleh pasaran dan tidak langsung ia dapat mewujudkan persaingan sihat antara peniaga dalam memberikan harga terbaik kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

Dalam erti kata lain, 'situasi menang-menang' perlu diamalkan oleh semua pihak.

Dengan itu, harga ayam di pasaran juga dapat dikekalkan pada harga yang munasabah tanpa membebankan sesiapa.

Sudah tentu peniaga juga tidak mahu menanggung kerugian sekiranya meletakkan harga ayam pada harga kayangan.

Kesudahannya, mereka juga yang berputih mata dan rugi kerana akhirnya sumber protein utama negara itu akan rosak begitu saja tanpa ada yang membelinya.

Tetapi perlu diingat, apa pun langkah yang diambil, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan lebih tegas selain memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi.

Selain itu, kerajaan juga perlu meluaskan lagi penganjuran Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk pasar raya besar bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat melalui harga jualan ayam yang lebih kompetitif dan tidak membebankan rakyat.

Yang pasti, jangan biarkan pengguna merana tetapi peniaga pula kaya-raya disebabkan penarikan subsidi ini.

Muhammad Syafiq Imran, Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!