90 peratus kemalangan jalan raya berpunca sikap pemandu - JPJ

Op Khas Kenderaan Komersial di Plaza Tol Jitra malam Sabtu melibatkan beberapa agensi termasuk PDRM, AADK, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia. - Foto Astro Awani.
Op Khas Kenderaan Komersial di Plaza Tol Jitra malam Sabtu melibatkan beberapa agensi termasuk PDRM, AADK, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia. - Foto Astro Awani.
A
A
A

JITRA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 90 peratus kemalangan yang berlaku di negara ini adalah disebabkan sikap pemandu itu sendiri.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya kesal dengan peningkatan kes kemalangan jalan raya walaupun sebelum mendapat lesen pemandu telah menjalani kursus pemanduan dan perlu mematuhi peraturan jalan raya sebelum dibenarkan memandu di atas jalan.

"Daripada analisis yang kami buat, didapati 90 peratus kemalangan yang berlaku adalah berpunca daripada sikap acuh tak acuh pemandu itu sendiri.

"Sedangkan, sebelum mereka mendapat lesen lesen ataupun sebelum mereka dibenarkan memandu, mereka telah pun diberikan kursus-kursus khas untuk mereka mematuhi peraturan-peraturan jalan raya.

"Sikap dan perbuatan mereka inilah sebenarnya yang menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya," katanya ketika menyertai Op Khas Kenderaan Komersial di Plaza Tol Jitra, malam Isnin.

Lokman berkata, melalui ‘Ops Patuh Khas 2023’ JPJ menahan dan melakukan pemeriksaan ke atas 321,263 buah kenderaan termasuk 64,880 kenderaan komersial.

Sementara itu, Lokman menegaskan, JPJ memandang serius kejadian buli jalan raya yang kerap berlaku kebelakangan ini dan memberi amaran JPJ tidak akan teragak-agak membatalkan lesen memandu pesalah.

"Kesalahan di bawah Seksyen 324 atau 323, membuli di jalan raya, akan diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan oleh pihak polis.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, sebab operasi-operasi yang kami jalankan ini sentiasa bersama dengan agensi-agensi lain, kita juga ada sistem di mana kesalahan-kesalahan berulang ini akan direkodkan.

"Sehingga satu ketika, mereka akan dilucutkan hak untuk memegang lesen dan tidak dibenarkan memandu apabila mata demerit (mencapai tahap tertentu) atau kesalahan dilakukan secara berulang."

Operasi khas malam tadi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!