JPJ Perak kutip lebih RM800,000 hasil lelongan kenderaan sita

Mohammad Yusoff
Mohammad Yusoff
A
A
A

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak merekodkan kutipan sebanyak RM858,470 hasil jualan kenderaan lelong yang dilakukan dalam dua siri lelongan tahun ini.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, ia membabitkan 118 kenderaan yang dilucut hak termasuk kereta, motosikal dan sebagainya dalam sesi lelongan yang dilakukan di negeri ini.

"Kenderaan yang mendapat hasil lelongan tertinggi hari ini adalah kenderaan Mitsubishi Pajero yang berjaya dilelong dengan harga RM24,000 manakala motosikal jenis Suzuki RC110S menerima hasil nilai bidaan terendah pada harga RM270,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat sesi lelongan pada Selasa.

Beliau berkata lelongan pada Selasa menawarkan 78 kenderaan membabitkan 47 kereta, 21 motosikal, lima lori, tiga van, sebuah bas serta sebuah kenderaan pacuan empat roda dan daripada jumlah kenderaan itu, 60 daripadanya boleh dilesenkan manakala 18 kenderaan tidak boleh dilesenkan (skrap).

Mohammad Yusoff berkata, lelongan awam kali ini dimulakan dengan harga tawaran terendah iaitu RM100 bagi sebuah motosikal Modenas CT100 tahun 2013 manakala harga tawaran tertinggi adalah bagi kereta Honda Integra tahun 2005 iaitu bidaan permulaan sebanyak RM17,700.

Katanya, semua kenderaan yang dilelong telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pembida yang hadir perlu membeli dokumen lelongan awam berharga RM70 yang dibuka jualannya selama lima hari bermula dari 23 hingga 27 Okt lepas.

Seramai 100 pembida hadir pada hari ini dan mereka yang berjaya membida kenderaan hendaklah menyelesaikan urusan pertukaran hak milik kenderaan dalam tempoh tujuh hari. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!