Turkiye, Malaysia jalin kerjasama erat mengenai isu Palestin

Emir Salim Yuksel
Emir Salim Yuksel
A
A
A

KUALA LUMPUR - Turkiye menjalin kerjasama erat dengan Malaysia berhubung isu Palestin, termasuk penyelarasan bantuan kemanusiaan ke Gaza, kata Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.

Diplomat itu berkata, perkara berkenaan turut dibincangkan antara Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan dua hari beliau ke Turkiye pada 21 Oktober.

"Seperti rakyat Malaysia, warga Turkiye turut memberi bantuan kemanusiaan kepada Palestin. Turkiye juga mengambil pendekatan menerusi usaha diplomasi untuk menghentikan pertumpahan darah dan menghulurkan bantuan kemanusiaan," katanya dalam jawapan bertulis sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-100 Turkiye pada 29 Oktober.

Anwar pada Selasa menyatakan sokongan Malaysia terhadap cadangan Turkiye dan Arab Saudi untuk mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan isu Palestin.

Beliau berkata, Turkiye komited untuk memulihkan keamanan di rantau itu secepat mungkin dan Ankara akan terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan, kemakmuran, dan kestabilan di seluruh dunia.

Ankara melaksanakan dasar luar negara berpandukan objektif ‘Peace at Home, Peace in the World', kata beliau.

Dalam pada itu, semasa majlis resepsi untuk meraikan ulang tahun ke-100 Turkiye pada malam Isnin, Yuksel menyuarakan keyakinan Turkiye dan Malaysia ialah dua negara penting bagi wilayah masing-masing.

Beliau juga percaya bahawa hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara yang merentasi pelbagai peringkat dan bidang, sudah pasti membawa kepada masa depan yang lebih baik dan cerah.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia mampu memainkan peranan penting pada abad ini. Golongan muda yang berpendidikan tinggi dan infrastruktur yang kukuh adalah jaminan kejayaan masa depannya," katanya.

Turkiye dan Malaysia meningkatkan kerjasama ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022.

Yuksel berkata, jumlah perdagangan dan bilangan pelancong semakin meningkat hasil keazaman pemimpin kedua-dua negara dan mekanisme komersial yang semakin meningkat antara Ankara dan Kuala Lumpur.

Malaysia ialah rakan dagangan terbesar Turkiye di ASEAN dengan nilai perdagangan mencecah AS$4.7 bilion (AS$1=RM4.51) pada 2022, meningkat 35 peratus berbanding 2021.

Majlis resepsi itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sekumpulan chef dan pemuzik dari bandar Gaziantep yang turut hadir pada majlis itu menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan rakyatnya atas solidariti serta bantuan yang dihulurkan susulan gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye pada 6 Februari. - Bernama