Tiba masa laksanakan Lemon Law di Malaysia

Sudah tiba masa Malaysia melaksanakan 'Lemon Law' yang membolehkan pengguna menuntut pampasan dalam bentuk wang atau gantian daripada pengeluar atau penjual jika menjual produk rosak, terutamanya kenderaan bermotor yang gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi dalam tempoh masa tertentu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Saral
Sudah tiba masa Malaysia melaksanakan 'Lemon Law' yang membolehkan pengguna menuntut pampasan dalam bentuk wang atau gantian daripada pengeluar atau penjual jika menjual produk rosak, terutamanya kenderaan bermotor yang gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi dalam tempoh masa tertentu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Saral
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya Malaysia melaksanakan 'Lemon Law' yang membolehkan pengguna menuntut pampasan dalam bentuk wang atau gantian daripada pengeluar atau penjual jika menjual produk rosak, terutamanya kenderaan bermotor yang gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi dalam tempoh masa tertentu.

Pengurus Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Saral James Maniam berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan berkaitan kerosakan kenderaan buatan tempatan dan antarabangsa dalam tiga bulan selepas pembelian.

Menurutnya, beberapa jenama kenderaan terkemuka menggunakan taktik sama, pengguna dikenakan bayaran untuk kerosakan yang dikenal pasti setahun lalu tetapi didiagnosis hanya selepas waranti tamat.

"Akibatnya, pengguna perlu bertanggungjawab untuk kos pembaikan yang berkaitan dengan kerosakan tertentu.

"Waranti kenderaan sepatutnya melindungi pengguna daripada perlu membayar untuk pembaikan yang tidak dijangka dan mahal, serta memastikan mereka mendapat perkhidmatan dan produk berkualiti daripada pengeluar atau penjual.

"Oleh itu, terdapat keperluan untuk melaksanakan Lemon Law di Malaysia untuk melindungi pengguna yang membeli kenderaan rosak," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

'Lemon Law' merupakan undang-undang negeri yang diasaskan di Amerika Syarikat bertujuan supaya pembeli kereta menerima pampasan seandainya produk yang dibeli rosak berkali-kali dan gagal berfungsi seperti dijanjikan.

Dalam pada itu, Saral menjelaskan, Malaysia tidak mempunyai Lemon Law yang khusus, sebaliknya dalam bentuk perlindungan pengguna secara umum di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Artikel Berkaitan:

Katanya, akta tersebut hanya menyediakan beberapa hak dan penyelesaian am bagi pengguna yang membeli produk rosak tetapi tidak menangani isu serta cabaran khusus dihadapi oleh pengguna yang membeli kenderaan rosak.

"Lemon Law akan menyediakan kriteria dan prosedur khusus dan jelas bagi pengguna untuk menuntut hak serta penyelesaian mereka daripada pengeluar atau penjual.

"Lemon Law juga akan menyediakan insentif dan penalti bagi pengeluar atau penjual untuk mematuhi kewajipan waranti dan meningkatkan standard kualiti serta perkhidmatan mereka," katanya.

Tambah beliau lagi, Lemon Law telah dilaksanakan secara meluas di banyak negara, seperti Singapura (2012), Filipina (2014), Korea Selatan (2016), China (2017), dan Jepun (2019).

"Lemon Law juga akan mempromosikan kesedaran dan pendidikan pengguna tentang bagaimana unit harga digunakan sebagai alat untuk membuat keputusan pembelian yang rasional.

"Lemon Law bukan hanya berkaitan dengan wang, tetapi juga berkaitan dengan kepercayaan, reputasi, dan tanggungjawab. Ia adalah penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak, pengguna dan pengeluar atau penjual," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!